26.6 C
Gombak
Thursday, July 29, 2021

‘Zahid suruh kami sokong Anwar’, dedah isteri Shahidan Kassim

Must read

Orang kuat Umno Perlis Shahidan Kassim tetap tidak mengaku kalah selepas langkah presiden parti itu memecat sekali gus menggantikan beliau dengan orang lain daripada jawatan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis dan berikrar akan mendedahkan segala usaha pemimpin utama parti itu mengumpulkan sokongan bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beberapa jam selepas berita pemecatan beliau, Shahidan berkata kepada media beliau akan mendedahkan butiran usaha Ahmad Zahid Hamidi tersebut.

Beliau berkata dirinya memilih untuk merahsiakan perkara tersebut, namun dalam sebuah temu bual dengan MalaysianNow, beliau memberi isyarat untuk mendedahkannya kepada orang ramai.

“Sebenarnya saya mengetahui banyak benda tapi semua saya simpan untuk menjaga keharmonian parti.” kata Shahidan

Tahun lalu, Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak yang lantang mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah bersama-sama menulis surat kepada istana bagi menyatakan sokongan mereka kepada Anwar dalam usahanya menjadi perdana menteri.

Kedua-dua mereka turut dipercayai merancang gesaan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), namun gesaan tersebut tidak menyebabkan menteri-menteri Umno meletak jawatan dari Kabinet kerajaan.

Shahidan yang merupakan antara pemimpin Umno yang membantah langkah memutuskan kerjasama dengan Bersatu berkata beliau tidak akan menunggu terlalu lama untuk mendedahkan kegiatan presiden Umno itu.

Menurutnya, Zahid dan sekutunya sememangnya menjalankan usaha “mendapatkan tandatangan” dalam kalangan ahli Parlimen Umno untuk menyokong Anwar.

“Memang ada bukti depa suruh orang tu sign, orang ni sign,” katanya kepada MalaysianNow baru-baru ini.

Pemimpin kanan Wanita Umno turut mengesahkan kepada MalaysianNow mengenai dakwaan Shahidan tersebut.

Exco Wanita Umno Shamsiah M Yassin yang juga isteri kepada Shahidan Kassim berkata Zahid telah mendekati sayap parti itu untuk memujuk mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Dia (Zahid) suruh kami sokong Anwar. Kita kata ‘no way’. Dia suruh sebelum ni sokong Anwar, kita kata kita tak akan ambil Anwar,” katanya kepada MalaysiaNow.

Akibat keengganan beliau memutuskan hubungan dengan PN, Shahidan teruk dipersenda perwakilan Umno ketika PAU yang diadakan bulan lalu sewaktu memberi ucapan yang tidak disiarkan secara langsung.

Kejadian tersebut turut dirakam dalam klip audio perbualan telefon antara Zahid dan Anwar yang didengar senang hati dengan hasil keputusan PAU.

Shahidan berpendirian bahawa Umno perlu bekerjasama dengan Bersatu selagi Parlimen belum dibubarkan sejajar dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno awal tahun ini.

Shamsiah berkata, Zahid selaku presiden parti tidak mempunyai formula untuk memenangkan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Saya biasa berjumpa dia (Zahid), masa sebelum Umno desak nak buat PRU15 bulan Mac, saya pergi jumpa dia, saya kata nak menang macam mana dengan keadaan sebelum tu baru sahaja pecat Annuar Musa. What’s wrong with you?

“Kenapa gaduh dengan semua orang? Sekarang ni saya nak cakap apa dengan orang bawah? Saya nak cakap macam mana dengan orang Umno?

“Dia diam, tak boleh jawab. diri sendiri pun tiada formula. Nak menang PRU15 tapi banyak lagi kerja tak selesai.”

Related Articles

Video
YouTube