25.2 C
Gombak
Saturday, February 27, 2021

Yakin jadi kubu kuat, Zuraida mohon kekal di Ampang

Must read

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menawarkan diri mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika mendapat keizinan daripada kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menyandang kerusi Parlimen tersebut sejak 2008.

“Jika parti tiada halangan, saya menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding di Ampang untuk mempertahankan kerusi ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 8,000 borang keahlian PPBM Selangor kepada Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari di Pejabat PM Parlimen Ampang di sini hari ini.

Ditanya sama ada perkara itu telah dibincangkan dengan Umno bagi mengelak perebutan kerusi, Zuraida, yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, secara ringkas berkata Umno juga sebahagian daripada PN.

Mengenai penyerahan borang keahlian PPBM, beliau berkata mereka terdiri daripada ahli badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara (PKN), yang kebanyakannya bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Zuraida berkata proses integrasi antara PKN dan PPBM berjalan dengan baik dan ia diharap dapat menambahkan kekuatan parti itu di Parlimen Ampang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa.

“Apabila digabungkan, sudah pasti Ampang akan menjadi kubu kuat PPBM,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata dengan penambahan 8,000 ahli baharu tersebut, PPBM Selangor kini mempunyai kira-kira 70,000 ahli.

“Sebelum PRU15, kita harap dapat keahlian sehingga 200,000. Di bahagian lain pun kita sedang menjalankan usaha-usaha menambah keahlian,” katanya. — Bernama

Related Articles

Video
YouTube