29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

[Video] Padah rakam tunjuk lagak berbahaya tunggang motosikal

Must read

Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal secara berbahaya sebelum aksinya dirakam dan dimuat naik di laman sosial Instagram dan Tik Tok sehingga tular mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, perbuatan suspek berusia 21 tahun itu dimuat naik di laman sosial oleh pemilik akaun muhddanialsyafiq dengan tajuk ‘The Real Raya in Kuala Lumpur’, berdurasi 0.28 minit pada hari raya pertama.

Menurutnya, video itu memaparkan seorang lelaki memakai baju Melayu berwarna cerah, berseluar gelap, memakai kopiah dan berselipar sedang menunggang motosikal Yamaha RXZ secara merbahaya dan membuat aksi wheelie di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh).

“Bertindak ke atas laporan polis yang diterima, Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai Inspektor Mohammad Solihi Shafie mengesan dan menahannya sebelum menyita motosikal bersama pakaian digunakan dalam video itu, pada 7 malam.

“Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, semakan rekod lampau mendapati dia pernah ditahan sebanyak dua kali atas kesalahan yang sama dan dihukum mengikut Seksyen 79(2 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2018 dan dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 bulan dan lesen memandu digantung selama dua tahun pada tahun lalu.

“Kita masih mengesan perakam video terbabit kerana bersubahat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas serta tidak membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Related Articles

Video
YouTube