24.2 C
Gombak
Tuesday, June 22, 2021

[Video] Ibu tunggal didakwa buat laporan palsu dirogol di pusat kuarantin

Must read

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membuat laporan palsu kepada polis, kononnya dirogol seorang lelaki ketika menjalani kuarantin di pusat kuarantin Covid-19 dekat Pengkalan Chepa, Sabtu lalu.

Tertuduh, Siti Nashurah Mat Daud, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memberi maklumat palsu kepada anggota polis bahawa dia dirogol Mohamad Rizwan Abdullah, 34, dengan niat tindakan diambil tindakan terhadap lelaki berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di kaunter Balai Polis Pengkalan Chepa pada 5.58 petang 1 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin yang memohon jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman memohon jaminan minimum dikenakan kerana berstatus ibu tunggal dan perlu menyara tiga anak.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh menjalani kuarantin Covid-19 di sebuah pusat kuarantin di Pengkalan Chepa dan berkenalan dengan seorang lelaki sebelum mendakwa lelaki itu merogolnya selama empat hari berturut-turut pada 28 April hingga 1 Mei lalu.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku secara sukarela dan perbuatan terkutuk itu turut diketahui pihak urusetia pusat kuarantin, sebelum tertuduh membuat laporan polis.

Related Articles

Video
YouTube