25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Varian Afrika Selatan dari Malaysia, Thailand ketatkan kawalan sempadan

Must read

Pekerja kesihatan menyuntik seorang wanita dengan vaksin Sinovac di Bangkok. (Gambar AP)

BANGKOK: Pihak berkuasa sempadan Thailand akan memperketatkan kawalannya selepas tiga kes tempatan varian Afrika Selatan Covid-19 dikesan akibat tindakan individu memasuki sempadan secara haram dari Malaysia.

Kes tempatan pertama varian Afrika Selatan dikenali sebagai B.1.351 dikesan pada 4 Mei lalu selepas seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun disahkan positif susulan lawatan keluarga dari Malaysia yang menyeberangi sempadan menerusi laluan tikus, kata ketua pengarah jabatan kawalan penyakit negara itu.

Pergerakan orang ramai di daerah itu kini disekat, dan hanya dua lagi kes varian sama daripada 81 jangkitan Covid-19 dikesan di situ sejak awal Mei, kata Opas Karnkawinpong.

“Varian Afrika Selatan ditemui di situ sama dengan yang dikesan di Malaysia,” katanya.

Walaupun ada kebimbangan bahawa varian itu mungkin menjejaskan keberkesanan vaksin Covid-19, Opas berkata proses inokulasi besar-besaran masih akan berkesan dalam mengurangkan keparahan dan kadar kematian akibat penyakit itu.

Kerajaan Thailand berkata akan meningkatkan pemeriksaan di pos kawalan serta pemantauan elektrik di sempadan darat, selain mengarahkan pegawainya bertindak lebih tegas mengekang aktiviti penyeludup manusia.

Pihak berkuasa di Bangkok turut melarang pergerakan buruh di kem pekerja binaan selepas 11 lokasi seperti itu menjadi antara 30 kluster aktif di ibu negara berkenaan.

Pasukan petugas Covid-19 kerajaan meminta syarikat binaan menjaga pekerjanya dengan memastikan bekalan makanan serta keperluan sepanjang tempoh itu.

Terdapat kira-kira 409 kem pekerja di sekitar Bangkok yang dihuni 62,169 pekerja dengan separuh daripadanya adalah golongan pendatang.

Kawalan pergerakan turut dilaksanakan di pasar dan pusat panggilan di sekitar Bangkok.

Thailand pada Ahad melaporkan 3,382 jangkitan baharu serta 17 kematian, menjadikan jumlah keseluruhannya 129,500 kes dan 776 kematian sejak pandemik bermula, tahun lalu.

Related Articles

Video
YouTube