30.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Vaksinasi, imuniti kelompok kunci pulihkan ekonomi

Must read

Desakan lebih kuat terhadap vaksinasi yang lebih meluas dan imuniti kelompok akan menjadi kunci kepada pemulihan semula ekonomi negara ketika kemunculan semula varian baharu COVID-19 menunjukkan risiko yang besar, kata Moody’s Analytics.

Ahli ekonominya, Sonia Zhu, berkata ekonomi Malaysia menguncup 0.5 peratus pada suku pertama 2021, selepas merekodkan penguncupan 3.4 peratus pada suku keempat 2020.

“Di sebalik pemulihan beransur-ansur terhadap penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, keadaan berkemungkinan akan kekal lemah pada suku mendatang berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang terbaharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sonia berkata, pelaksanaan perintah berkurung yang berpanjangan akan menjadi situasi sukar untuk dikendalikan terutama bagi mereka yang bergaji harian, perniagaan kecil dan keluarga yang mengalami masalah kewangan.

Varian COVID-19 yang lebih mudah berjangkit memaksa Malaysia mengisytiharkan PKP di seluruh negara dari 12 Mei hingga 7 Jun 2021 untuk mengekang lonjakan kes akibat virus baharu itu.

Malaysia mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 39 orang pada 12 Mei 2021, sejak pandemik ini bermula dengan sistem kesihatan awam mencapai had kemampuannya.

Selain Malaysia, negara jiran seperti Singapura dan Indonesia turut berdepan lonjakan jangkitan COVID-19.

Sonia berkata, acara sosial, makan di dalam kedai dan perjalanan adalah dilarang semasa PKP, sekali gus menjejaskan industri perkhidmatan seperti makanan, runcit dan perhotelan.

“Perbelanjaan isi rumah akan berkurang pada waktu yang biasanya diharapkan memuncak.

“Oleh itu, desakan lebih kuat untuk vaksinasi yang lebih meluas adalah kunci penyelesaiannya,” katanya.

Beliau menambah, pada masa ini, hanya 3.4 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Katanya, kadar vaksinasi yang perlahan menimbulkan keraguan terhadap keupayaan negara untuk mencapai sasaran imuniti kelompok pada akhir 2021.

Awal minggu ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata Malaysia tetap berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan KDNK antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun 2021.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan itu mengambil kira ketidakpastian pandemik COVID-19, termasuk potensi kenaikan semula kes baharu dan langkah-langkah pembendungan yang diambil.

“Ketidakpastian ini dicerminkan oleh unjuran bank yang luas iaitu sebanyak 150 mata asas, di antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus,” katanya.

Related Articles

Video
YouTube