26.4 C
Gombak
Friday, July 30, 2021

Unjuran pertumbuhan KDNK semakin tidak realistik, kata ahli ekonomi

Must read

Seorang ahli ekonomi mengkritik keputusan Putrajaya mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5% dan 7.5% bagi 2021, dengan berkata, unjuran itu lebih tidak realistik kini berbanding semasa Belanjawan 2021 dibentangkan.

CEO Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito berkata, Putrajaya “mesti bersikap realistik” sekarang sewaktu negara berada di bawah satu lagi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, beliau menganggap unjuran itu sedia tidak realistik ketika Belanjawan dibentangkan dan kini lebih percaya bahawa ia tidak konsisten dengan hala tuju negara ini.

“Unjuran sedemikian hanya boleh diterima jika kita mengandaikan krisis Covid-19 akan tamat esok, keyakinan perniagaan dan pengguna pulih dalam satu malam dengan sempadan dibuka dan aktiviti yang terjejas semasa perintah sekatan tiba-tiba muncul semula,” katanya.

“Walaupun tanpa PKP 2.0, saya fikir kita perlu jangkakan unjuran punca ganda terbalik, yang bakal menyaksikan pemulihan fisiologi susulan pelonggaran beberapa peraturan sekatan akan diikuti oleh pertumbuhan lebih mendatar, jika pun bukan pertumbuhan negatif.”

Katanya, bagi menghindari unjuran keluk KDNK yang mendatar, kerajaan perlu mengelakkan penutupan menyeluruh, menggubal strategi ekonomi yang jelas dan memastikan iklim politik stabil.

Beliau berkata, strategi “sekatan bertingkat-tingkat” yang digunakan di Malaysia akan menghakis keyakinan komuniti perniagaan dan menghalang syarikat daripada membuat pelaburan baharu.

Katanya, keengganan itu boleh dilihat pada pelabur asing dan domestik.

Beliau memberitahu, 16 syarikat dari China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini berpindah ke Indonesia.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, Putrajaya mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK 6.5% hingga 7.5% bagi tahun ini walaupun darurat diisytiharkan dan PKP kedua dilaksanakan.

“Masih awal lagi dan kita masih di suku pertama tahun ini,” katanya.

“Jadi kita kekalkan (buat masa sekarang), tetapi unjuran kita berisiko memandangkan (apa yang berlaku) semasa PKP 2.0.”

Tengku Zafrul juga berkata, Putrajaya menjangka negara akan kerugian RM700 juta setiap hari kerana PKP.

Related Articles

Video
YouTube