32.7 C
Gombak
Sunday, February 28, 2021

UMNO bincang usul 143 bahagian tolak kerjasama dengan PPBM pada Rabu

Must read

BAGAN DATUK: Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan membincangkan usul penenolak kerjasama dengan PPBM yang diputuskan 143 daripada 191 bahagian pada Rabu ini.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata, penolakan kerjasama itu pada awalnya dibuat melalui satu kajian dalam kumpulan WhatsApp ketua UMNO bahagian seluruh negara.

Katanya, hasil kajian awal itu menunjukkan 143 bahagian UMNO tidak mahu bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum akan datang.

“Sebagai presiden, saya hormati keputusan 143 bahagian itu yang kemudian akan menyatakannya melalui usul rasmi (mesyuarat bahagian masing-masing),” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bagan Datuk.

Beliau berkata, usul berkenaan harus dikaji dan diterima UMNO sebagai suara akar umbi serta keputusan rasmi parti, walaupun Ahli Parlimen UMNO menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, ketika berucap merasmikan mesyuarat bahagian itu, Zahid berkata, beliau sedar ada pihak kurang senang dengan tindakan UMNO dan mahu ia bersyukur serta berterima kasih kerana dipelawa menyertai kerajaan PN.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan pihak mana yang sepatutnya bersyukur dan berterima kasih memandangkan penyumbang terbesar dalam pembentukan kerajaan PN ialah UMNO.

“Ketika ini, terdapat satu gerakan untuk wujudkan 8,000 cawangan baru (sebuah parti politik PN) dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Di manakah (mereka) nak cari ahli? Adakah jaminan ahli UMNO dan ketua cawangan yang mahu dibeli? Adakah ahli UMNO boleh dibeli dan disogok dengan harga murah?” soalnya.

“Orang UMNO tak semurah itu untuk dibeli dan disogok rasuah…orang UMNO tetap berdaya tahan. Jika 22 bulan boleh bertahan, apa sangat beberapa bulan mendatang ini.”

Sindiran Zahid itu dipercayai merujuk kenyataan Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin baru-baru ini yang menyasarkan sejuta keahlian PPBM dan 8,000 cawangan ditubuhkan di seluruh negara dalam tiga bulan.

Zahid berkata, apa makna kejujuran sekiranya telunjuk lurus, tetapi kelingking berkait.

Beliau mencadangkan kerajaan mempercepatkan PRU15 dengan mematuhi semua SOP untuk membolehkan rakyat memilih kerajaan lebih kukuh.

“Kita akur wabak COVID-19 perlu dielakkan dan SOP perlu dipatuhi, tetapi kenapa (kerajaan) takut untuk mengadakan pilihan raya?

“Lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya umum dalam keadaan mereka berdepan ancaman COVID-19, saya khuatir (kerajaan) bukan takutkan COVID, tapi takut benda lain.”

Related Articles

Video
YouTube