28.6 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

Tukang sebar perlu buktikan bila gambar itu diambil, Saifuddin beritahu Annuar dakwaan langgar SOP

Must read

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, meminta Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, membuktikan gambar mendakwa beliau bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP).

Lewat malam tadi, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkongsi beberapa gambar di Twitter menunjukkan Saifuddin, Ahmad Zahid dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, sedang menikmati hidangan bersama tanpa menjelaskan secara terperinci tarikh serta lokasi restoran berkenaan.

Saifuddin berkata, beliau dan bekas timbalan perdana menteri itu sudah lama mengenali dan mengakui mempunyai banyak koleksi gambar bersama Ahmad Zahid dan keluarganya.

“Saya bersahabat dengan beliau (Zahid) dah lama, dekat 30 tahun. Banyak koleksi gambar bersama beliau dan keluarganya saya ada.

“Lebih elok minta tukang sebar jelaskan terperinci di mana dia dapat gambar itu. Gambar lama atau baru, elok dia jelaskan. Dia mesti tahu gambar itu dari mana dan bila, baru saya boleh jawab semula,” katanya kepada FMT.

FMT sudah menghubungi Annuar dan sedang menunggu maklum balasnya untuk penjelasan lanjut.

Annuar dalam catatannya, dengan sinis mengulas pertemuan ketiga-tiga ahli politik berkenaan.

“Makan sedulang memang sedap…Lebih-lebih lagi kalau dapat ‘dining’ di restoran musim PKP,” katanya di Twitter.

Semalam, Annuar dikompaun RM2,000 selepas beliau didapati melanggar SOP kerana berkunjung ke kediaman bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, Sabtu lalu.

 

Related Articles

Video
YouTube