28.6 C
Gombak
Friday, July 23, 2021

Top Glove Diarah Henti Operasi Tidak Patuh Arahan Majlis Keselamatan Negara

Must read

Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa telah mengarahkan syarikat pembuat sarung tangan perubatan terbesar dunia supaya menghentikan operasi semua kilangnya di negeri Selangor kerana melanggar prosedur ditetapkan kerajaan mengenai COVID-19, dan merupakan kali kedua arahan menghentikan operasi dibuat terhadap syarikat tersebut.

Arahan itu dikeluarkan terhadap syarikat Top Glove setelah ia didapati meneruskan kerja di kilang-kilangnya yang terletak di negeri tersebut ketika kebanyakan daerah di Selangor telah dikenakan perintah berkurung yang diperketatkan bermula 3 Julai lalu.

Menurut seorang pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kilang Top Glove yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak sepatutnya beroperasi, kerana hanya kilang yang dikategorikan sebagai sektor perlu dibenarkan.

“Ia tidak sepatutnya beroperasi (ketika PKPD), dan surat kebenaran yang ada itu tidak sah kerana prosedur operasi standard (SOP) mengatasi,” kata pegawai itu yang tidak boleh dinamakan.

Beliau merujuk kepada satu kenyataan media terbaharu dikeluarkan MITI pada Selasa, yang menyatakan bahawa semua syarikat yang tidak dikategorikan sebagai sektor perlu adalah tidak dibenarkan beroperasi.

“Seperti diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada 1 Julai 2021, operasi syarikat-syarikat sektor perlu yang terletak di lokasi PKPD boleh disokong dengan penggunaan surat CIMS 3.0, yang mempunyai akronim PKP 3.0 tercatat di bawah Kod QR surat itu.

“Semua surat kebenaran CIMS 3.0 mesti dibaca bersekali dengan SOP PKPD terkini oleh Majlis Keselamatan Negara. Akan tetapi, ia perlu diambil maklum bahawa syarikat yang terletak di kawasan PKPD yang tidak termasuk senarai MKN mengenai sektor perlu adalah tidak dibenarkan beroperasi,” kata kenyataan tersebut.

Beliau merujuk kepada surat kebenaran yang dikeluarkan MITI melalui sistem dipanggil CIMS 3.0, di mana syarikat-syarikat yang ingin beroperasi boleh membuat permohonan secara atas talian dan memuat turun surat kebenaran melalui sistem tersebut.

Menurut kenyataan media terbaharu dikeluarkan MITI pada Selasa, surat kebenaran yang diperolehi syarikat melalui CIMS 3.0 bagaimanapun adalah tidak sah sekiranya syarikat atau kilang itu berada di dalam kawasan PKPD. Ini adalah kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kawasan PKPD adalah mengatasi sebarang surat kebenaran.

“Semua surat kebenaran CIMS 3.0 mesti dibaca bersekali dengan SOP PKPD terkini oleh Majlis Keselamatan Negara. Ia perlu diambil maklum bahawa syarikat terletak di kawasan PKPD yang tidak termasuk senarai sektor perlu yang dikeluarkan MKN, adalah tidak dibenarkan beroperasi,” kata kenyataan tersebut.

Kementerian itu memberikan peringatan kepada semua pemain industri supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab dan mematuhi semua SOP ditetapkan, serta memberi amaran bahawa ketidakpatuhan boleh dihukum melalui undang-undang.

“Sebarang ketidakpatuhan oleh syarikat adalah kesalahan undang-undang di bawah Akta 342, dan tindakan boleh diambil ke atas mereka oleh Pasukan Petugas Khas COVID-19,” kata MITI, merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Pada 1 Julai, kerajaan mengumumkan keputusan untuk meletakkan 34 mukim di dalam lapan daerah di negeri Selangor di bawah PKPD bermula 3 Julai sehingga 16 Julai, 2021. Arahan itu dibuat ekoran peningkatan kes COVID-19 yang tinggi di negeri itu.

Antara kawasan yang terlibat adalah Klang, di mana terletaknya lebih 25 buah kilang yang dioperasikan oleh Top Glove.

Berdasarkan SOP dikeluarkan MKN, hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi dalam kawasan PKPD. Semua jenis industri lain adalah tidak dibenarkan.

Ia adalah kali pertama kilang-kilang Top Glove di Klang diarahkan berhenti operasi secara sepenuhnya.

Pada 23 November lepas, kilang syarikat tersebut turut diarah tutup tetapi secara berperingkat selepas lebih 1,000 pekerjanya didapati dijangkit koronavirus, bagi membolehkan semua pekerja disaring dan dikuarantin.

Dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa, Top Glove menyatakan bahawa semua kilang pembuatan sarung tangan miliknya di Klang dihentikan operasi buat sementara waktu, sementara mereka sedang menantikan klarifikasi dari MKN.

“Top Glove ingin memaklumkan bahawa kilang-kilangnya yang mengeluarkan sarung tangan perubatan di Klang tidak akan beroperasi buat sementara, bagi mematuhi arahan PKPD. Ini adalah sementara menantikan penjelasan daripada MKN.

“Syarikat ini berharap dapat kembali memulakan operasi pada masa yang sesuai, dan meneruskan untuk mengeluar sarung tangan perubatan yang amat diperlukan oleh para petugas barisan hadapan serta petugas kesihatan di Malaysia dan di seluruh dunia,” kata kenyataan tersebut.

Hilang pelanggan kerana PKPD

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Supramaniam Shanmugam memberitahu sebuah media tempatan bahawa perintah penutupan operasi di bawah PKPD menyebabkan kehilangan RM65 juta nilai eksport sehari, dan juga akan menyebabkan negara kehilangan pelanggan untuk pengeksportan produk tersebut.

Menurut potal berita The Malaysian Reserve, Supramaniam berkata bahawa 780 juta sarung tangan dikeluarkan setiap hari di Selangor.

“Pelanggan mungkin akan beralih kepada negara lain seperti China dan Vietnam untuk mendapatkan bekalan sarung tangan. Kita mungkin hilang klien yang telah dibina melalui kerja keras selama 30 tahun,” kata beliau.

Sebelum ini, pada 4 Julai Supramaniam menggesa kerajaan untuk membenarkan kilang-kilang pembuatan sarung tangan di Selangor untuk beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata lebih 58 peratus produk sarung tangan yang dikeluarkan di Malaysia adalah dibuat di kilang-kilang yang terletak di Selangor.

“Pengumuman dibuat oleh kerajaan mengenai penutupan industri pembuatan sarung tangan telah menyebabkan kekhuatiran di kalangan sektor penjagaan kesihatan seluruh dunia, kerana sarung tangan pembuatan adalah amat diperlukan bagi melindungi para petugas barisan hadapan serta pekerja hospital.

“Ketakutan ini lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan sarung tangan pembedahan, kerana sekiranya pembuatannya dihentikan, tidak ada sebarang pembedahan boleh dilaksanakan tanpa sarung tangan pembedahan yang steril.

“Dengan ini, kami merayu kepada kerajaan supaya membenarkan semua kilang sarung tangan ini untuk terus beroperasi di bawah SOP yang ketat,” kata Supramaniam.

Menurut beliau, ahli MARGMA mengeluarkan dan mengeksport sarung tangan ke 195 negara, dan pengeluar sarung tangan perubatan di Malaysia menyumbang 67 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dikeluarkan di seluruh dunia.

Pada Selasa, Malaysia kembali merekodkan bilangan kes harian COVID-19 melebihi 7,000, dengan 7,654 kes di mana hampir separuh daripada jumlah itu dicatatkan di Selangor (3,260 kes).

Kes kematian turut meningkat sebanyak 103 kes pada Selasa, termasuk 43 daripadanya direkodkan di Selangor, dengan jumlah kumulatif seramai 5,677 kes kematian.

Related Articles

Video
YouTube