23.7 C
Gombak
Sunday, August 1, 2021

“Tiada kompromi”, UMNO Perak mahu tandingi semua kerusi dimenangi ‘pengkhianat’

Must read

Ketua UMNO Perak, Saarani Mohamad mahu semua kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu ditandinginya, walaupun wakil rakyat terbabit sudah melompat ke parti lain.

“Semua kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU-14, tetapi dikhianati wakil yang kita amanahkan, maka kerusi itu hendaklah dikembalikan kepada UMNO pada PRU-15.

“Di Perak ini, kawasan Parlimen Larut, Bagan Serai, Bukit Gantang, kawasan DUN Tualang Sekah dan Sungai Manik asalnya dimenangi UMNO.

“Tidak ada kompromi dalam hal ini. Kembalikan kepada UMNO kerana kita masih mempunyai ramai lagi ahli yang setia kepada parti sebagai ganti kepada mereka yang mengkhianati kita,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Larut.

Beliau yang juga menteri besar dan pemangku ketua UMNO Larut berkata, walaupun pembahagian kerusi belum dimuktamadkan, UMNO perlu mempunyai pendirian tegas terhadap hak dan kedudukannya.

Kerusi Parlimen Larut diwakili Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin, yang melompat ke parti itu selepas Barisan Nasional tumbang pada PRU-14.

Hamzah ialah bekas ketua UMNO Larut dan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Saarani berkata, UMNO bukan parti yang tamakkan darjat dan kuasa, tetapi sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam parti gabungan, kedudukan, dan kekuatannya perlu dihormati.

“UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam bekerjasama, namun mengambil pengajaran daripada episod pengkhianatan pada PRU-14 dan kecurangan yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, UMNO berhak berhemat menyusun langkah politiknya.

“UMNO perlu cermat mengenali siapa kawan dan siapa lawan,” katanya.

Related Articles

Video
YouTube