29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Thailand buat persediaan buka semula Phuket kepada pelancong sudah divaksin mulai 1 Julai

Must read

BANGKOK: Thailand sedang membuat persediaan untuk membuka semula pulau peranginan Phuket kepada pelancong yang telah divaksin, bermula 1 Julai.

Di bawah skim “Phuket Sandbox”, pelancong asing yang telah divaksin dibenarkan mengunjungi Phuket tanpa kuarantin. Namun, perlu tinggal di pulau itu selama 14 hari sebelum ke wilayah lain.

“Pembukaan semula bergantung pada situasi Covid-19 di Thailand dan luar negara serta persetujuan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA),” kata Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini sekitar 50 peratus penduduk Phuket telah divaksin.

Skim yang dicadangkan itu akan dibincang semasa mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha Isnin depan, sebelum mendapatkan kelulusan kabinet pada Selasa.

Terdahulu, Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) Yuthasak Supasorn berkata Phuket akan menjadi destinasi pertama di Thailand yang akan dibuka semula kepada pelancong asing yang telah divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin.

“Kita semua di TAT gembira dan semua orang di Phuket sedang membuat persiapan untuk menyambut kedatangan pelancong asing tidak lama lagi. Mulai 1 Julai 2021, pelancong asing yang sudah divaksin akan dibenarkan mengunjungi Phuket tanpa kuarantin, jadi nantikan pembukaan Phuket,” katanya dalam satu kenyataan.

TAT menjangkakan kira-kira 129,000 pengunjung akan ke pulau itu antara Julai dan September tahun ini.

Dalam 24 jam lalu, Thailand mencatat 2,631 kes baharu Covid-19 dan 31 korban, menambah jumlah keseluruhan jangkitan kepada 171,979 dan 1,177 kematian.

Daripada kes baharu, penolong jurucakap CCSA Dr Apisamai Srirangsan berkata 2,580 adalah jangkitan tempatan dan 51 kes import termasuk enam yang tiba dari Malaysia.

Menurutnya, kes kematian baharu pula melibatkan 16 lelaki dan 15 wanita berusia antara 17 hingga 97 tahun termasuk 20 di Bangkok, empat di Samut Prakan, dua di Chiang Mai.

“Pihak berkuasa kesihatan mengesan dua kluster baharu Covid-19 di Bangkok menambah kluster aktif di ibu negara kepada 52 setakat ini,” katanya.

Related Articles

Video
YouTube