29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Tengkorak, serpihan tulang disyaki milik warga emas hilang dijumpai 500m dari rumah

Must read

Tengkorak dan serpihan tulang manusia yang ditemui di Yan, Kedah, semalam dipercayai milik seorang warga emas yang dilaporkan hilang Mac lalu.

Cebisan rangka manusia berkenaan dijumpai kira-kira 500m dari rumah mangsa, menurut Ketua Polis Daerah Yan Shahnaz Akhtar Haji.

“Rangka manusia itu berjaya dikumpulkan dan didapati gagal menemui tiga tulang tangan si mati yang dipercayai dihanyutkan arus deras dan gangguan oleh haiwan liar,” kata Ketua Polis Daerah Yan Shahnaz Akhtar Haji dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahnaz, rakan mangsa, yang juga jirannya berusia 62 tahun membuat pengecaman berdasarkan kain pelekat dan baju yang dijumpai bersama rangka.

Difahamkan mangsa berusia 84 tahun itu, yang tinggal berseorangan dan tidak pernah berkahwin, mempunyai masalah nyanyuk, kata Shahnaz.

“Mangsa biasanya berjalan kaki untuk keluar atau pergi ke masjid,” katanya.

Rangka manusia berkenaan telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, dan waris mangsa sudah dikesan untuk menjalani pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki berusia 36 tahun menemui tengkorak dan serpihan tulang manusia di dalam parit di Jalan Batu 18, Guar Chempedak, ketika memotong rumput di kawasan sawah padi.

Terdahulu, Ketua Balai Polis Guar Chempedak mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada 15 Mac lalu.

Related Articles

Video
YouTube