25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Suu Kyi ‘muncul’ kali pertama sejak rampasan kuasa

Must read

NYAPYIDAW: Aung San Suu Kyi hadir di mahkamah buat kali pertama hari ini selepas kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 1 Feb lalu, kata peguamnya kepada Reuters.

Suu Kyi nampak sihat dan sempat berbincang dengan pasukan pembelaannya selama 30 minit sebelum prosiding terhadapnya dimulakan, kata peguamnya Thae Maung Maung.

Suu Kyi, 75, antara lebih 4,000 orang yang ditahan sejak rampasan kuasa itu. Beliau menghadapi pelbagai tuduhan daripada memiliki radio ‘walkie-talkie’ secara haram hinggalah melanggar undang-undang kerahsiaan negara itu.

Ketika pertemuan dengan peguamnya itu, beliau sempat merujuk epada parti pimpinannya, Liga Demokrasi Kebangsaan, yang mungkin akan dibubarkan tidak lama lagi.

“Katanya, parti itu ditubuhkan untuk rakyat, jadi ia akan kekal ada selagi rakyat juga ada,” kata Thae Maung Maung kepada Reuters.

Suruhanjaya pilihan raya Myanmar yang dilantik junta akan membubarkan parti Suu Kyi itu kerana didakwa melakukan penipuan dalam pilihan raya pada November lalu, lapor media pada Jumaat dengan memetik seorang pesuruhjaya yang turut mengancam mengambil tindakan terhadap ‘pengkhianat’ yang terlibat.

Tentera merampas kuasa selepas mendakwa parti Suu Kyi memenangi pilihan raya menggunakan penipuan. Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan suruhanjaya pilihan raya terdahulu.

Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak rampasan kuasa itu, dengan protes harian, perarakan dan mogok di seluruh negara terhadap junta, yang membalas dengan keganasan. Lebih 800 orang dilaporkan maut sejak itu, kata kumpulan aktivis Assistance Association for Political Prisoners.

Related Articles

Video
YouTube