27.9 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

Suspek Pengganas Indonesia dan Malaysia Akan Didakwa di Guantanamo pada 30 Ogos

Must read

Tiga suspek pengganas Asia Tenggara yang ditahan sejak 2006 di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Cuba akan didakwa pada 30 Ogos atas pertuduhan berkaitan dengan pengeboman maut di Indonesia, kata Pentagon pada Isnin, setelah tarikh pendakwaan mereka sebelum ini ditangguhkan kerana pandemik koronavirus.

Rakyat Indonesia, Hambali, atau nama sebenarnya Encep Nurjaman, serta rakyat Malaysia Mohammed Nazir bin Lep dan Mohammed Farik bin Amin, pada mulanya dijadualkan menghadapi pendakwaan di mahkamah tentera pangkalan tentera laut AS di Teluk Guantanamo pada Februari bagi pertuduhan yang berkaitan dengan dakwaan peranan mereka dalam serangan pengganas berskala besar di Bali pada 2002 dan Jakarta pada tahun 2003.

Awal bulan ini, hakim tentera Komander Hayes C. Larsen menolak permohonan pendakwa raya untuk melakukan pendakwaan berikutan keadaan yang semakin baik di tengah-tengah pandemik itu.

“Dengan bertambahnya kemudahan mendapatkan vaksin COVID-19, penurunan kadar jangkitan serta keadaan menyeluruh yang semakin baik dalam persekitaran pandemik, kerajaan meminta dipertimbangkan semula keputusan suruhanjaya untuk menetapkan tarikh pendakwaan pada 30 Ogos 2021,” kata pendakwa raya, berdasarkan permohonan yang dibuat pada 16 Jun.

Larsen juga menolak permintaan peguam bela untuk menunda pendakwaan sehinggalah “adanya representasi dan sumber-sumber yang mencukupi”, dalam satu lagi permohonan berlainan yang dikemukakan pada hari yang sama.

“Pada masa ini, satu kamar mahkamah sahaja yang ada di NSGB [Stesen Tentera Laut Teluk Guantanamo] untuk sebarang sesi/perbicaraan, oleh itu penjadualan tarikh perlulah mengambil kira penyusunan doket bagi kes-kes Suruhanjaya Ketenteraan yang lain,” kata Larsen semasa membuat keputusannya.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin, Jabatan Pertahanan AS menyatakan tarikh pendakwaan bagi ketiga-tiga rakyat Asia Tenggara itu sambil mengumumkan bahawa penerbangan sewa tentera menyediakan tempat untuk wakil media yang mahu ke Cuba bagi membuat liputan perbicaraan mahkamah itu.

Jurucakap Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan tidak segera melayani permintaan BenarNews untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pendakwaan pada 30 Ogos itu.

Pembunuhan, pertuduhan lain

Hambali menghadapi lapan pertuduhan manakala dua rakyat Malaysia itu berdepan sembilan pertuduhan, menurut kertas pertuduhan yang dimuat naik oleh Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan. Ketiga-tiga lelaki itu dituduh melakukan konspirasi, pembunuhan, percubaan membunuh, sengaja menyebabkan kecederaan tubuh yang serius, keganasan, menyerang orang awam, melakukan serangan terhadap harta benda awam serta pemusnahan harta benda.

Kedua-dua rakyat Malaysia itu juga menghadapi pertuduhan tambahan dengan hakikatnya – “semua itu melanggar undang-undang perang.”

Pihak berkuasa menyatakan bahawa pertuduhan itu tidak membawa hukuman mati.

Ketiga-tiga lelaki itu ditangkap di Thailand pada 2003 dan dihantar ke rangkaian penjara rahsia CIA sebelum dipindahkan ke Guantanamo pada September 2006.

Profil ketenteraan AS mengenai Hambali menggambarkannya sebagai dalang operasi bagi Jemaah Islamiyah (JI), sebuah kumpulan militan Asia Tenggara yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda – kumpulan yang melakukan serangan pengganas pada 11 September di New York dan Washington.

Pihak berkuasa Indonesia menyalahkan JI kerana melakukan pengeboman yang menyebabkan 202 orang terbunuh di Bali pada Oktober 2002 – serangan maut pengganas paling buruk setakat ini di Indonesia.

Pihak berkuasa di AS mendakwa bahawa Hambali membantu merancang pengeboman Bali pada 2002 dan pengeboman Hotel J.W. Marriot di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 12 orang terbunuh.

Pendakwaan itu merupakan yang pertama secara rasminya bagi ketiga-tiga lelaki itu selepas mereka ditahan di Guantanamo sejak 15 tahun lalu.

Laporan Senat AS mengenai penahanan suspek keganasan dan teknik soal siasat CIA pada tahun-tahun selepas serangan keganasan 11 September mengesahkan adanya bentuk penyeksaan.

Hambali tidak diseksa menggunakan air tetapi “teknik soal siasat lebih teruk” digunakan termasuk diletakkan dalam posisi regang yang menyakitkan dan dihentakkan ke dinding atau dibiarkan dalam keadaan berbogel serta dikurung dalam kotak seperti keranda, menurut laporan itu.

Pegawai kerajaan Indonesia menyatakan pada 2016 bahawa sekiranya Hambali dibebaskan, mereka keberatan menerima kepulangannya kerana bimbang ia akan mencetuskan kebangkitan semula sel-sel keganasan dalam negara itu.

Keadilan dapat dilaksanakan

Pada 22 Januari lalu, ketua anti-keganasan Malaysia memberitahu BenarNews bahawa negara itu menyambut baik keputusan AS untuk merujuk pendakwaan terhadap Hambali dan dua rakyat Malaysia itu yang ditahan di Teluk Guantanamo ke sebuah mahkamah tentera, dengan menyatakan bahawa keadilan dapat dilaksanakan menerusi prosiding perbicaraan.

“Ini adalah langkah bagus oleh AS – mereka [tertuduh] kini mempunyai peluang untuk membantah kes mereka di mahkamah,” kata Normah Ishak, Ketua Bahagian Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia kepada BenarNews.

Beliau turut memberitahu bahawa sebelum ini, pihak berkuasa AS menghantar pasukan mereka ke Malaysia bagi membincangkan nasib Nazir dan Farik, namun tidak mencapai sebarang persetujuan berikutan faktor teknikal perundangan.

“Ini berikutan kemahuan AS untuk membicarakan dua rakyat Malaysia itu bersama-sama dengan Hambali dan mereka perlu menjalani sebahagian hukuman di AS, jika didapati bersalah, dan selebihnya di penjara di Malaysia,” kata Normah.

Beliau berkata isu teknikal itu adalah berkaitan dengan pemindahan pesalah penjara tentera ke penjara sivil Malaysia berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Penjara.

“Nazir dan Farik bagaimanapun masih boleh didakwa jika mereka pulang ke Malaysia, walaupun selepas menjalani hukuman di AS jika didapati bersalah.

“Ya, mereka boleh didakwa di Malaysia dengan pihak polis boleh mengambil tindakan sewajarnya apabila tiba masanya nanti kerana ada peruntukan undang-undang di negara ini di mana seseorang itu boleh didakwa kerana menjadi anggota organisasi keganasan,” kata Normah.

Ditanya sama ada keputusan mendakwa Hambali dan dua rakyat Malaysia itu boleh membawa impak negatif terhadap keselamatan di Malaysia, pegawai kanan polis wanita itu percaya tidak mungkin berlakunya serangan balas kerana ketiga-tiga individu itu tidak dikenali generasi kini.

“Generasi kini lebih mengenali IS atau Daesh berbanding Jemaah Islamiyah. Jadi, saya tidak nampak impak atau kemungkinan berlakunya serang balas terhadap pengumumam pihak pertahanan AS berkaitan Hambali dan dua rakyat Malaysia itu,” kata Normah.

Related Articles

Video
YouTube