25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Sudah ada kluster perayaan

Must read

Tindakan beberapa individu menyertai beberapa aktiviti sosial sempena sambutan perayaan mencetuskan satu kluster baharu kategori komuniti yang dilaporkan hari ini.

Ini sebahagian daripada 18 kluster baharu jangkitan COVID-19 yang dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks bagi Kluster Simpang Sahari di Labuan ialah seorang wanita berusia 48 tahun dari Simpang Sahari, Kampung Bukit Kallam, Mukim Layangan.

“Kes dilaporkan positif COVID-19 hari ini hasil saringan individu bergejala. Kes mula bergejala pada 18 Mei lalu.

“Sehingga kini, seramai 119 individu sudah disaring dan sembilan daripada mereka didapati positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 10 kluster jangkitan membabitkan tempat kerja iaitu Kluster Persiaran Perbandaran dan Kluster Industri Balakong Tiga di Selangor; Kluster Jalan Wan Kadir yang dikesan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Kluster Jalan Simpang Tiga di Sarawak; Kluster Jalan Datin Halimah dan Kluster Jalan Mengkibol di Johor; Kluster Jalan Selat di Perak; Kluster Industri Senawang di Negeri Sembilan; Kluster Sungai Keluang 2 di Pulau Pinang dan Kluster Industri Kelemak di Melaka.

Beliau berkata, lima kluster keagamaan yang dikesan adalah Kluster Jalan Kota Raja dan Kluster Kampung Mujahidin di Selangor; Kluster Sri Penara dan Kluster Taman Setiawangsa di Kuala Lumpur dan Kluster Jalan Surau Stulang di Johor

Katanya, ada tiga kluster komuniti iaitu Kluster Susur Larut di Perak, Kluster Jalan Tanjung Minyak di Melaka dan Kluster Simpang Sahari.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kluster jangkitan COVID-19 yang dikesan setakat hari ini ialah 1,984 kluster, dengan 1,455 kluster sudah tamat, manakala 529 kluster masih aktif.

Related Articles

Video
YouTube