28.6 C
Gombak
Friday, July 23, 2021

Sidang Parlimen Pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara Tak Masuk Akal

Must read

Ketetapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sidang Parlimen hanya boleh diadakan selepas negara memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara tidak masuk akal, bidas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya, lebih mengelirukan apabila dimaklumkan pada Fasa 3 semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali bagi aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif.

“Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi jangkitan COVID-19 termasuk pub, spa dan salon kecantikan.

“Adakah ini bermakna Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara diletakkan dalam senarai negatif yang sama seperti pub, spa dan salon kecantikan? Soal Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu perkongsian di Facebook malam tadi.

Ulas Ahmad Zahid juga, beliau tidak pasti apa kaitan 40% populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin baru Parlimen akan dibenarkan bersidang semula iaitu dianggarkan sekitar bulan September atau Oktober 2021.

“Sedangkan barisan Ahli Parlimen telah lama menerima suntikan vaksin COVID-19 yang bermakna sidang Parlimen sepatutnya adalah selamat untuk diadakan.

“Lagipun seperti banyak kali dipinta, sidang Parlimen masih boleh diadakan secara maya seperti yang dilakukan negara lain walaupun pintunya mahu terus ditutup,” tegasnya lagi.

Justeru tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, timbul persoalan pihak manakah yang sebenarnya sengaja cuba menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat berkenaan prinsip Demokrasi Berparlimen.

“Apapun kita terus menggesa supaya Parlimen kembali bersidang secepat mungkin sebagai tonggak demokrasi terpenting di Malaysia.

“Parlimen sebagai sebuah badan legislatif mewakili suara serta hak rakyat dan badan perundangan tertinggi di Malaysia.

“Parlimen sebagai proses semak dan imbang terhadap perbelanjaan serta pentadbiran negara supaya ianya telus dan jujur demi kepentingan rakyat,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Video
YouTube