24.2 C
Gombak
Tuesday, June 22, 2021

Siasat terperinci dakwaan pekerja restoran makan dalam kedai – Polis

Must read

SUBANG JAYA: Polis akan menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya jika wujud pelanggaran salah laku ketika membuat pemeriksaan pematuhan Covid-19 di sebuah restoran di PJS 11/19, Bandar Sunway, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dalam kejadian 5.15 petang semalam, pengurus restoran terbabit didatangi tiga anggota Team Pematuhan Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya yang membuat pemeriksaan dan dapati ada orang sedang makan dalam kedai.

Menurutnya, mengikut peraturan terkini, restoran hanya dibenarkan membungkus makanan sahaja maka anggota terbabit hendak mengambil tindakan kompaun terhadap perlanggaran itu.

“Pengurus terbabit mendakwa yang makan itu adalah pekerjanya yang datang awal ke restoran untuk masuk kerja syif 5.30 petang dan ketika itu masih belum tukar pakaian seragam restoran.

“Beranggapan penerangan itu sebagai alasan untuk mengelakkan kompaun, maka lelaki itu dibawa ke IPD Subang Jaya untuk rujukan kepada Pegawai Pematuhan dan tindakan seterusnya kerana membabitkan warganegara asing,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abd Khalid berkata, untuk makluman, pemilik akaun Facebook di atas nama ‘Renyi Chin’ mengeluarkan kenyataan beliau pada 6.17 petang semalam kerana tidak berpuas hati anggota hendak mengeluarkan kompaun kepada pekerjanya.

“Tindakan polis berdasarkan maklumat awam dan pemeriksaan mendapati ada seorang lelaki sedang makan dan memakai pakaian biasa disyaki pelanggan.

“Memandangkan lelaki terbabit warganegara asing, maka perlu dibawa balik ke IPD Subang Jaya untuk dibuat laporan tindakan kompaun,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajar dari sudut tatatertib sekiranya wujud perlanggaran salah laku oleh anggota berkenaan.

Related Articles

Video
YouTube