26.6 C
Gombak
Thursday, July 29, 2021

Selepas Najib tarik diri, Anwar arah ahli Parlimen PH sokong Belanjawan 2021

Mesej mulut ke mulut itu tidak sampai kepada ahli Parlimen Amanah yang majoritinya bangun menuntut undi belah bahagi.

Must read

Entahlah portal milik adik Latheefa Koya serta editornya setiausaha akhbar Mat Sabu ini.

Dorang buat cerita seolah-olah saya adalah big boss sebenar PH Plus menggantikan PM4/7/7i.

Saya arah Guan Eng dan Kit Siang diri membantah, mereka berdiri tegak macam tiang.

Saya suruh Guan Eng dan Kit Siang duduk, mereka turut duduk diam-diam.

Bukan begitu?

Kan seluruh negara telah mendengar saya ucap dalam Dewan Rakyat bahawa sokongan saya dan BN bagi bajet 2021 adalah bersyarat?

Dan jika kedua-dua syarat kita dipenuhi, kenapa pulak kita perlu tolak bajet?

Weiii.. kita bukan geng janji manifesto bukan kitab suci, ya?

Suka hati janji ini atau itu, lalu dicapatikan berkuah kari kepala ikan dan rakyat dikencing.

Bila kita berjanji untuk sokong bajet jika syarat-syarat kita disambut maka kita tunaikan janji itu.

Facebook Najib Razak
https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157515455315952

==============
Selepas Najib tarik diri, Anwar arah ahli Parlimen PH sokong Belanjawan 2021 (malaysianow)

Bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Arahan saat akhir diberikan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyebabkan ahli-ahli Parlimen PKR dan DAP tidak meminta undi belah bahagi sehingga menyebabkan Belanjawan 2021 diluluskan dengan mudah hari ini.

Sumber PKR memberitahu MalaysiaNow Ketua Whip PKR Johari Abdul yang juga ahli Parlimen Sungai Petani diberikan tugas menyampaikan arahan itu.

“Arahan disampaikan melalui mulut ke mulut. Malangnya tidak semua orang terima arahan itu,” kata sumber itu.

Difahamkan, Anwar mengeluarkan arahan itu kepada ahli-ahli Parlimen PH selepas bekas perdana menteri, Najib Razak menarik diri daripada percubaan untuk menggagalkan Belanjawan 2021.

Bagaimanapun Anwar kemudian memberitahu wartawan keputusan untuk tidak serta dalam undi itu bukan disebabkan pihaknya tidak mempunyai angka mencukupi.

Beliau juga mendakwa Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun secara jelas “berat sebelah”, dengan mengatakan ahli Parlimen tidak diberi peluang untuk membahas ketika Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membuat ucapan penggulungan.

Semasa membahaskan Belanjawan 2021 dua minggu lalu, kenyataan Najib senada dengan Anwar, mengatakan undinya hanya diberikan dengan syarat pindaan dilakukan terhadap belanjawan.

Sebelum ini terdapat spekulasi Najib dan sekurang-kurangnya empat lagi ahli Parlimen Umno akan menolak Belanjawan 2021.

Selepas selesai ucapan penggulungan menteri kewangan hari ini, speaker Dewan Rakyat memberikan peluang kepada ahli Parlimen yang mahukan undi belah bahagi untuk berdiri.

Hanya 13 berdiri, kurang dua ahli Parlimen diperlukan mengikut syarat undi belah bahagi dijalankan.

Mengikut undi belah bahagi, semua ahli Parlimen mestilah mengundi sebelum belanjawan boleh diluluskan.

Semakan mendapati ahli Parlimen Amanah kecuali dua pemimpin tertingginya, presiden Mohamad Sabu dan timbalan presiden Salahuddin Ayub berdiri untuk meminta undi belah bahagi.

Ahli Parlimen Amanah yang bangun disertai Dr Mahathir Mohamad dan tiga lagi ahli Parlimen Pejuang.

Orang kuat Mat Sabu, Abu Bakar Mohd Rashid mengatakan presiden Amanah sudah bangun tetapi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menghentikannya.

“Tapi Guan Eng tarik tangan dia. Dia pun duduk. Bila Salahuddin tengok Mat duduk, dia pun tak jadi bangkit,” kata Abu Bakar kepada MalaysiaNow dan ditulis di akaun Facebooknya.

Kemarahan dalam PH

Sementara penyokong PH marah dengan pemimpin tertinggi mereka di media sosial kerana tidak mahukan undi belah bahagi.

“Penjelasan sedang disediakan. Kita perlu jelaskan kepada rakyat,” tulis setiausaha politik kepada Lim Kit Siang, Syahredzan Johan di Twitter.

“Saya tahu apa berlaku tetapi tidak tahu mengapa ia berlaku. Maaf kawan-kawan,” tambahnya.

“Jangan buang masa beri penjelasan kerana saya tidak akan buang masa untuk baca,” kata seorang penyokong PH sebagai balasan kepada ciapan Syahredzan. “Pembangkang tak boleh dapat 15 orang pun untuk berdiri. Apa yang rakyat boleh harapkan?”

Seorang pegawai kepada bekas timbalan menteri, Izmil Amri membuat ciapan secara sinis dipercayai mensasarkan penyokong Anwar yang mendakwa presiden PKR itu mempunyai sokongan kuat untuk menjatuhkan kerajaan.

“Formidable lah sangat,” tulis Izmil.

Pengundian belanjawan hari ini ditunggu-tunggu kerana kegagalan mendapatkan sokongan majoriti akan menyebabkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang dan pilhan raya umum mengejut di musim pandemik.

Related Articles

Video
YouTube