25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Selangor, Sarawak Tempah Vaksin Sendiri Percepat Imunisasi COVID-19

Must read

Sekurangnya dua buah negeri di Malaysia telah mengambil langkah memintas program imunisasi COVID-19 kebangsaan negara itu — yang dikritik sesetengah pihak kerana dikatakan berjalan dengan perlahan – dengan cuba mendapatkan vaksin secara terus bagi menginokulasi penduduk mereka dengan lebih cepat.

Usaha itu dibuat semasa negara tersebut merekodkan kes positif koronavirus yang tinggi dengan bilangan yang direkodkan pada Rabu melonjak melebihi angka 6,000, menjadikannya rekod terbaharu kes paling tinggi bagi tempoh sehari, dengan lebih ramai menggesa supaya kerajaan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya bertujuan mengekang penularan jangkitan.

Kerajaan Selangor memberitahu yang pentadbiran negeri itu telah membeli sejumlah 2.5 juta dos vaksin COVID-19 beberapa hari selepas kerajaan negeri Sarawak mengumumkan langkah serupa dengan mendapatkan satu juta dos kepada penduduknya.

“Sementara kerajaan negeri menggalakkan supaya rakyat mendapatkan vaksin percuma yang diberikan oleh kerajaan persekutuan, banyak pemain industri telah menghubungi kerajaan negeri dan menyatakan bahawa mereka tidak boleh tunggu lagi, dan sehingga kini hanya 3.3 peratus populasi negeri ini telah divaksinasi.

“Progres ini terlalu perlahan bagi sebuah negeri yang menyumbang 20 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK). Kami bermula dengan usaha untuk membeli 2.5 juta dos, tetapi kita bersedia untuk membeli lebih banyak mengikut keperluan,” kata Siti Mariah Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor dalam satu sidang media pada Rabu.

Beliau mengakui bahawa bekalan vaksin bagaimanapun hanya akan didapati selepas pembekal menyempurnakan tempahan yang telah dibuat oleh kerajaan persekutuan.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja para pembekal menepati perjanjian mereka dengan kerajaan persekutuan dan membekalkan apa yang telah ditempah, mereka akan berikan kepada kita di negeri. Kami telah sampai ke fasa terakhir dan dalam minggu hadapan, Menteri Besar Selangor akan membuat satu pengumuman,” tambah beliau.

Siti Mariah berkata bahawa komuniti perniagaan mendesak untuk mendapatkan vaksin kerana kos yang ditanggung mereka kerana terpaksa menutup operasi serta menjalankan saringan COVID-19 ke atas semua pekerja jauh melebihi kos untuk membayar vaksin.

Tambahnya, keutamaan dalam program vaksinasi kerajaan negeri itu akan diberikan kepada sektor pembuatan dan gergasi korporat, di samping membantu perniagaan-perniagaan kecil.

Data dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Rabu menunjukkan Selangor terus merekodkan bilangan jangkitan COVID-19 tertinggi dalam negara dengan 2,251 kes dengan kematian melibatkan 19 orang, juga satu jumlah tertinggi dibandingkan dengan negeri lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah pula berkata bahawa situasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini berada dalam keadaan kritikal, dengan 79 peratus daripada jumlah keseluruhan katil Unit Rawatan Rapi telah diperuntukkan bagi kes COVID-19.

“Jumlah kemasukan ICU COVID-19 (termasuk yang disyaki/kemungkinan) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah meningkat sebanyak 94 peratus berbanding dua minggu yang lalu. Sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang berada di bawah tekanan yang amat besar.

“Petugas barisan hadapan sudah penat dan kelesuan. Bantu kami agar kami masih mampu untuk membantu anda jika dan bila masanya tiba. Duduk di rumah jika anda tidak mempunyai urusan penting di luar dan patuhilah SOP,” kata beliau.

Isnin lalu, Menteri Kesihatan Adham Baba berkata yang kementerian itu sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan terhadap Selangor sekiranya kerajaan negeri gagal menurunkan jumlah kes COVID-19 baharu setiap hari.

Sementara itu, pada hari yang sama, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan bahawa kerajaan negeri itu akan mendapatkan satu juta dos vaksin Sinovac dalam dua penghantaran.

Beliau tidak mendedahkan kos inisiatif itu.

Menurut beliau, langkah itu dibuat selepas kerajaan negeri mendapat kebenaran daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu mesyuarat yang diadakan dua minggu lepas.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberikan kebenaran, dan Sarawak akan membeli 500,000 dos Sinovac dalam Fasa 1 dan akan membeli 500,000 dos lagi pada Fasa kedua,” beliau memberitahu satu sidang media di Bintulu, seperti dilaporkan agensi berita Bernama.

Malaysia pada Rabu sekali lagi merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 6,075 kes, mengatasi bilangan tertinggi 5,728 yang sebelum ini dicatatkan pada 30 Januari lepas.

Pihak berkuasa kesihatan turut merekodkan 46 lagi kematian baharu berkaitan pandemik dalam tempoh 24 jam lepas, hanya satu kes di bawah rekod tertinggi yang direkodkan semalam. Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 negara melepasi angka 2,000.

Program Imunisasi Diutamakan

Menteri yang bertanggungjawab mengkoordinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin pula mengingatkan kerajaan negeri bahawa keutamaan bekalan vaksin akan diberikan kepada inisiatif kerajaan persekutuan.

“Seperti yang saya sebut semalam, tempahan awal yang dibuat kerajaan persekutuan mesti diberikan keutamaan, dan sekiranya kerajaan negeri Selangor merujuk kepada vaksin Sinovac, PICK di berikan keutamaan dan saya tidak tahu bila Selangor akan dapat vaksin yang mereka beli.

“PICK adalah satu-satunya program, di mana vaksin yang diguna diluluskan oleh NPRA (Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan). Yang lain saya tidak tahu dari mana mereka dapatkan atau bila bekalan akan sampai, atau berapa banyak mereka harus bayar. Tetapi PICK adalah satu-satunya program kebangsaan yang kita ada sekarang, dan vaksin diberi secara percuma melalui pusat-pusat pemberian vaksin,” kata beliau dalam satu sidang media secara maya pada Rabu.

Khairy menegaskan bahawa vaksin adalah barangan terkawal dan ia tidak boleh dibeli secara import tanpa dokumen yang sah, serta memberikan jaminan kepada kerajaan negeri bahawa bekalan vaksin adalah mencukupi untuk mencapai sasaran program kebangsaan.

“Saya faham bahawa orang ramai dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan vaksinasi, kerana kita kini berada dalam gelombang ketiga jangkitan, tetapi kita sedang cuba mempercepatkan pemberian vaksin dengan secepat mungkin.

“Kami berjanji kepada orang ramai bahawa kelajuan program ini akan meningkat pada bulan Jun ini apabila lebih banyak bekalan vaksin daripada Sinovac, Pfizer dan AstraZeneca sampai, dan kita juga memahami bahawa kerajaan negeri cuba menjadi proaktif. Tetapi saya telah menghubungi Menteri Besar Selangor untuk berbincang mengenai pentingnya untuk mengelakkan kekeliruan pada rakyat.

“Sementara saya tidak boleh melarang orang daripada menyertai program vaksinasi negeri Selangor, daripada membuat bayaran (untuk mendapatkan vaksin), apa yang saya boleh jamin ialah kami (PICK) berkemungkinan boleh mendapatkan bekalan untuk kamu dengan lebih cepat. Tetapi jika kamu mahu membayar dan hanya dapat vaksin lebih lewat, itu keputusan kamu. Saya tidak mahu dilihat sebagai menghalang usaha kerajaan negeri, tetapi apa pun, bekalan kerajaan persekutuan akan diutamakan,” kata beliau.

Tawaran vaksin palsu

Dalam sidang media yang sama, Khairy yang merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mendedahkan mengenai satu tawaran palsu yang dibuat oleh sebuah syarikat untuk menderma dua juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata bahawa tawaran dibuat seorang individu yang mendakwa sebagai pengarah urusan syarikat berpusat di Hong Kong itu sebagai satu yang “palsu” dan “penipuan”.

“Ini adalah satu penipuan, satu benda yang palsu. Semakan mendapati syarikat ini tidak wujud, dan tiada apa-apa bukti atau dokumen atau permohonan diterima mana-mana wakil syarikat Sinovac tersebut berhubung sumbangan yang dimaksudkan.

“Malah tiada siapa yang mengenali penderma bernama ‘Yong Chee Kong” ini serta syarikat ‘Xintai Development Enterprise Ltd’ seperti yang ditulis dalam surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang,” kata Khairy, dan menambah bahawa satu laporan polis akan dibuat berhubung perkara itu.

Khairy turut mendedahkan bahawa surat yang hampir serupa telah turut dihantar oleh individu tersebut ke pejabat beliau, menawarkan untuk menderma dua juta dos vaksin bagi negeri Sabah, tetapi ia juga telah didapati satu perkara yang palsu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan susulan pendedahan Khairy menggesa supaya syarikat dan pengarahnya yang dimaksudkan supaya tampil memberikan respon.

Pemain industri tidak mahu PKP

Sementara itu, pemain industri di Malaysia menyatakan bahawa mereka faham mengenai adanya keperluan untuk satu langkah lebih ketat diambil bagi mengekang wabak, namun mereka berharap supaya perintah berkurung secara total tidak dilaksanakan.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Son Thian Lai dalam satu kenyataan pada Rabu menggesa kerajaan supaya tidak mengenakan perintah berkurung total di seluruh negara atau negeri yang mempunyai kadar jangkitan tinggi.

“Kami menggesa kerajaan supaya meneruskan dengan model Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang membenarkan sektor ekonomi beroperasi, tetapi dengan SOP yang ketat bagi menurunkan kadar jangkitan, serta mempercepatkan program imunisasi,” kata beliau.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Related Articles

Video
YouTube