23.7 C
Gombak
Sunday, August 1, 2021

Sekutu PH jangan gelojoh desak Anwar tolak kerjasama dengan Umno, kata Pemuda PKR

Must read

Pemimpin Pemuda PKR menegur sekutu pembangkang, termasuk dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak terlalu gelojoh mengkritik kenyataan Anwar Ibrahim yang menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan Umno.

Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Ab Razak berkata, pemimpin pembangkang, termasuk DAP dan Amanah juga tidak sepatutnya menjadikan alasan “kleptokrat” untuk membantah kerjasama dengan Umno sebaliknya hendaklah melihat agenda lebih besar.

“Bagi saya pembangkang jangan terlalu gelojoh atau kelam kabut dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya.

“Kita bincang soal sekarang, apa yang diperlukan rakyat sekarang. Rakyat memerlukan pelepasan daripada pemerintahan yang sangat bobrok di bawah Perikatan Nasional,” tambah beliau.

Syukri berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan pemimpin Amanah, DAP, Muda, Warisan dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mendesak Anwar supaya menolak sebarang kerjasama dengan “kleptokrat”.

Ini susulan laporan media yang mengaitkan presiden PKR itu dengan usaha menjalin kerjasama dengan Umno.

Dalam kenyataan bersama Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub; Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong; pengasas Muda Syed Saddiq Abdul Rahman; Baru Bian daripada PSB dan Ketua Pemuda Warisan, Mohd Azis Jamman, menggesa Anwar supaya terus mengukuhkan blok besar pembangkang.

Mengulas lanjut, Syukri turut menegur Salahuddin supaya bersikap lebih terbuka untuk berbincang dengan pihak lain sebagaimana Amanah terbuka berunding dengan parti pembangkang “di luar PH”, yang dipercayai merujuk kepada Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamed.

“Sebagaimana pemimpin Amanah, termasuk Salahuddin, boleh terbuka berbincang dengan blok pembangkang lain (di luar PH), mereka juga harus terbukauntuk berbincang dengan pihak lain.

“Janganlah menutup jalan jika ia boleh memberi manfaat lebih besar kepada rakyat,”katanya.

Beliau mengakui semua pihak resah dan tidak selesa untuk bekerjasama dengan Umno kerana parti itu mempunyai “sejarah permusuhan” panjang dengan pembangkang dalam politik Malaysia.

“Kita cukup tahu bagaimana sikap Umno dalam politik Malaysia, tapi dalam situasi sekarang, kita tidak boleh terlalu negatif dan kelam kabut dalam menghukum.

“Isu kleptokrat, isu rompakan, isu orang ada kes mahkamah ini semua sedang berjalan, kita harus biarkan mahkamah putuskan.

Beliau berkata, Anwar hanya memberitahu bahawa wujudnya perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin Umno.

“Takkan pemimpin PH tidak percayakan Anwar. Kematangan dan pengalaman beliau dalam meneruskan perbincangan, khususnya dalam meneruskan agenda rakyat.

“Kami percaya Anwar tidak akan sesekali mengadaikan perkara ini (agenda rakyat) “

Katanya, setiap perbincangan bukanlah untuk kepentingan mana-mana parti atau individu.

Syukri berkata, sekiranya bantahan yang dibuat oleh Salahuddin dan Liew terhadap usaha Anwar mewakili parti masing masing, maka ia adalah “sesuatu yang malang” buat PH.

“Kalau ia pandangan (kritikan) individu, maka kita wajar hormati hak masing-masing untuk bercakap, tetapi kalau ia mewakili Amanah dan DAP, maka ia sesuatu yang malang.

“Sepatutnya perkara ini diperhalusi dan diperbincangkan di peringkat PH, bukannya diterjah secara terburu-buru melalui media,” katanya.

Anwar baru-baru ini mengesahkan wujud usaha untuk menjalin kerjasama dengan Umno ketika negara menghampiri pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau dilaporkan berkata, beberapa pertemuan yang diadakan dengan pemimpin parti itu menampakkan “hasil positif”.

Related Articles

Video
YouTube