28.6 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

Segera Buka Parlimen, Ahli Politik, Masyarakat Sivil Desak PM Patuh Titah Agong

Must read

Perdana Menteri Malaysia menghadapi tekanan yang semakin kuat supaya membenarkan parlimen bersidang semula, dengan ramai wakil rakyat dan kumpulan masyarakat sivil pada Khamis menggesa Muhyiddin Yassin mengikut saranan Yang di-Pertuan Agong yang mahukan sidang dibuat sebelum berakhirnya tempoh darurat negara.

Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan satu kenyataan ringkas yang menyatakan bahawa Muhyiddin mengambil maklum pandangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa menetapkan sebarang tarikh untuk membuka semula Parlimen.

“Kerajaan mengambil maklum titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara pada 16 Jun 2021.

“Menjunjung titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” kata kenyataan ringkas Pejabat Perdana Menteri tanpa menyatakan secara jelas apakah langkah yang akan diambil Putrajaya itu.

Kenyataan ringkas itu dikeluarkan sehari selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya Parlimen perlu bersidang secepat mungkin dengan Majlis Raja-Raja mahukan darurat yang dilaksanakan di seluruh negara tidak dilanjutkan selepas tamat pada 1 Ogos.

Parlimen Malaysia tidak bersidang bagi tahun ini kerana digantung susulan Proklamasi Darurat yang diisytihar kerajaan pada 11 Januari lepas, dan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos depan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menerima desakan daripada gabungan parti pembangkang, Anggota Parlimen, masyarakat sivil termasuk parti yang menganggotai kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya.

Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipimpin Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Pembangkang berkata Muhyiddin patut meletakkan jawatan sekiranya berkeras untuk tidak menuruti titah Yang di-Pertuan Agong.

“Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

“Dan jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri,” kata kenyataan media yang ditandatangani presiden tiga parti komponen Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan Parti Tindakan Demokratik.

Mereka juga menegaskan bahawa penting untuk parlimen dibenarkan bersidang semula supaya proses semak dan imbang dapat dilakukan terhadap pengurusan kerajaan, serta supaya perbahasan dapat dijalankan mengenai Ordinan-Ordinan Darurat, perbelanjaan kerajaan serta Pelan Pemulihan Negara.

Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang menganggotai gabungan kerajaan pimpinan Muhyiddin turut menyatakan sokongan mereka terhadap titah Al-Sultan Abdullah supaya sidang Parlimen perlu dibuka segera.

“UMNO menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini,” kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Bawa ke Mahkamah Persekutuan

Sementara itu, sebuah gabungan badan bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Seed Community for a Professional Parliament’ dalam satu kenyataan media mendesak supaya parlimen bersidang segera dan bukannya menunggu sehingga September atau Oktober seperti yang disebut Perdana Menteri semasa mengumumkan Pelan Pemulihan Negara pada Selasa.

“Kami mendesak semua pihak, terutama pentadbiran Muhyiddin Yassin untuk melakukan apa yang diperlukan untuk memulihkan demokrasi berparlimen supaya kestabilan politik dan ekonomi yang sangat diperlukan dalam masa terdekat bagi menangani pergelutan pemulihan ekonomi negara,” kata kenyataan media tersebut.

Gabungan itu dianggotai oleh enam badan bukan kerajaan termasuk pemerhati bebas pilihan raya BERSIH 2.0, Institut Hal-Ehwal Demokrasi dan Ekonomi, serta Persatuan Pengundi Muda Undi 18.

Mereka turut menggesa supaya Yang di-Pertuan Agong membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan sekiranya kerajaan masih enggan untuk memanggil parlimen bersidang dan gagal mengambil langkah yang perlu untuk tujuan itu.

“Sekiranya pentadbiran Muhyiddin gagal mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera untuk Parlimen bersidang semula, ia berpotensi membawa kepada krisis perlembagaan, maka kami ingin memohon sembah agar Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan untuk mendapatkan penasihat undang-undang bebas untuk menggunapakai Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan dan mendapatkan pandangan Mahkamah Persekutuan mengenai peruntukan Perlembagaan yang membolehkan Parlimen bersidang kembali memandangkan keengganan pihak Eksekutif untuk melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya,” kata gabungan tersebut.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak pula berkata bahawa Muhyiddin boleh membuka semula Parlimen dengan segera sekiranya mereka mahu, termasuk keupayaan di bawah Darurat untuk mengenepikan keperluan notis 28 hari bagi memanggil persidangan parlimen.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih – baik dari segi perlembagaan, perundangan mahupun kesihatan. Semua Ahli Parlimen dan petugas sudah selesai divaksin. Kita hendak tengok mereka ada niat dan kesetiaan untuk turut titah Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

“Yang lain sekadar alasan sahaja,” kata Anggota Parlimen Pekan yang telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, dan didenda RM210 juta (AS$51 juta) bagi kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan SRC International, anak syarikat dana negara, 1Malaysia Development Berhad, dengan hukuman itu ditangguhkan bagi memberi laluan terhadap rayuannya didengar oleh Mahkamah Rayuan.

Related Articles

Video
YouTube