23.7 C
Gombak
Sunday, August 1, 2021

‘Sayu setiap hari rakyat mengadu ikat perut’ – Jalaluddin

Must read

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengakui sedih apabila ada rakyat di tempatnya hidup sukar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu bercerita pengalaman dialaminya saban hari ada penduduk menangis terpaksa ikat perut kerana tiada apa hendak dimakan keluarga di rumah.

“Setiap hari, akan ada sahaja orang yang menghubungi saya sama ada secara terus kepada pegawai saya atau melalui Facebook, mengadu nasib masalah kewangan mereka,” katanya.

Menerusi hantaran di akaun sosial rasminya, beliau terkilan apabila ada seorang wanita yang memaklumkan tiada apa boleh dimasak di dapur dan ada ibu tunggal merayu memohon ihsan.

Mereka jelasnya, tidak meminta banyak bantuan kewangan tetapi cukuplah sekadar jika dapat RM30 sahaja sudah dianggap boleh ‘lepas’ untuk membeli sedikit beras dan telur ayam.

Keadaan buruk itu katanya, merupakan satu realiti pahit yang memang berlaku ketika ini dalam masyarakat dan beliau juga kesal apabila ada beranggapan kononnya ia cuma isu terpencil.

Padahal jelas Jalaluddin, jika perkara remeh sedemikian tidak dapat ditangani pihak kerajaan dengan segera, akhirnya masalah kecil itu akan semakin ‘busuk’ dan menjejaskan pula negara.

“Macam-macam keluhan rakyat yang saya terima. Allahuakbar. Hati ini sayu apabila kenang ada rakyat ikat perut tidak mampu beli sekampit beras. Saya cuba bantu seadanya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan isu tekanan perasaan dengan banyak kes bunuh diri dilaporkan pihak media akhir-akhir ini, memerlukan semua pihak perlu segera memainkan peranan lebih aktif.

Katanya, kerajaan sudah tidak boleh berdiam diri kerana keadaan buruk ekonomi semasa dan ‘kocek’ rakyat ketika ini perlu diberi keutamaan sebelum situasi sosial masyarakat lebih parah.

“Ada hilang pekerjaan, perniagaan rugi, anak memberontak sebab tidak dapat keluar, ibu bapa stres sampai bergaduh dan akhirnya rumah tangga porak peranda selain berlaku perceraian,” katanya.

Justeru Jalaluddin merayu kerajaan memudahkan bantuan antaranya pengeluaran i-Sinar 2.0 dari akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium secara automatik.

“Rakyat juga boleh main peranan. Jika tahu ada jiran tiada makanan, jangan pula diam diri. Jika tidak mampu bantu dari segi wang, maka hubungilah pihak yang sepatutnya,” tegas beliau.

Katanya, pengerusi persatuan penduduk, ketua kampung, penghulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat juga disaran menyalurkan bantuan terus.

Situasi itu katanya, bukan lagi soal ‘jaga tepi kain orang’ kerana keadaan ketika ini adalah soal kelangsungan hidup dengan semua perlu tampil prihatin dan peka keadaan jiran sekeliling.

Related Articles

Video
YouTube