31.6 C
Gombak
Tuesday, March 2, 2021

Ringgit bakal terjejas ekoran Fitch Ratings semak turun penarafan Malaysia

Must read

Langkah menyemak turun penarafan Malaysia oleh firma penarafan antarabangsa, Fitch Ratings berisiko menjejaskan kedudukan ringgit.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kegiatan pengambilan untung mungkin berlaku disebabkan ringgit dilihat telah mengukuh ke paras yang begitu memberangsangkan iaitu sekitar RM4.06 hingga RM4.07 berbanding dolar Amerika, daripada RM4.447 pada pertengahan Mac lalu.

Menurut beliau, bagi berdepan risiko akibat penarafan se­mula itu, kerajaan memerlukan strategi jelas untuk memperbaiki kedudukan defisit fiskal yang melebar apabila ekonomi mula pulih pada tahun 2022 dan seterusnya.

“Kerajaan perlu ada peranca­ngan yang rapi terutamanya dari sudut komunikasi kepada rakyat serta tadbir urus yang baik.

“Ini adalah kerana dasar untuk memperbaiki kedudukan kewa­ngan sememagnya tidak popular, misalnya pengenalan cukai-cukai baharu serta pengurangan per­belanjaan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Minggu lalu, Fitch Ratings menyemak turun penarafan Malaysia daripada ‘A-‘ kepada ‘BBB+’ dengan unjuran stabil.
Ia dibuat ekoran krisis pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan beberapa metrik kredit utama negara.

Dalam pada itu, Mohd. Afzanizam berkata, impak penarafan semula itu adalah lebih kepada kos pinjaman kerajaan yang mana kadar pulangan atau bond yield bakal meningkat akibat a­ktiviti jualan di pasaran bon terutamanya oleh pelabur asing.

Menurutnya, milikan asing di dalam Malaysian Government Securities (MGS) adalah 40.3 pe­ratus, setakat Oktober 2020.

“Kesan kepada pasaran ekuiti domestik dijangka agak minimum kerana pelabur asing sememangnya merupakan penjual bersih.

“Penarafan ini juga tidak semestinya akan membuatkan pelabur asing lari kerana Malaysia memiliki ekonomi berdaya saing,” katanya.

Related Articles

Video
YouTube