28.1 C
Gombak
Wednesday, May 12, 2021

‘Ranking’ kebebasan media jatuh beri kesan pada negara

Must read

Ahli Parlimen PKR Fahmi Fadzil membidas kerajaan berhubung penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021, dengan berkata perubahan institusi diperlukan.

Beliau mengulas laporan yang diterbitkan Reporters Without Borders (RSF) hari ini yang menunjukkan Malaysia telah jatuh 18 anak tangga ke kedudukan 119, daripada 180 negara.

“Ini sememangnya bukan satu pencapaian yang baik atau patut dibanggakan negara kita,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Beliau menambah budaya media yang terkongkong dan takut pada pemerintah mesti segera diperbaiki.

Fahmi menggesa majlis media bebas diwujudkan, bersertakan undang-undang berkaitan bagi memastikan wartawan dapat melaporkan kebenaran tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Beliau berkata satu lagi perkara penting yang perlu ditangani adalah undang-undang berita palsu yang digubal di bawah ordinan darurat. Katanya, ini kerana ia membuka ruang terlalu luas untuk tafsiran ‘berita palsu’.

Fahmi berkata Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), yang mengawal pelesenan surat khabar juga perlu dimansuhkan kerana dapat digunakan oleh pemerintah untuk menekan penerbit.

Pengarah komunikasi PKR itu juga menyindir pentadbiran kerajaan atas penurunan kedudukan negara dalam laporan RSF, apabila menyifatkannya sebagai “kejayaan” kerajaan Perikatan Nasional.

“Ini adalah satu lagi ‘kejayaan’ Kerajaan Perikatan Nasional. Tahniah saya ucapkan khusus buat Menteri Komunikasi dan Multimedia di atas ‘kejayaan’ yang amat ‘membanggakan’ ini,” katanya.

Indeks Kebebasan Akhbar Dunia RSF 2021 menyenaraikan Norway, Finland dan Sweden sebagai tiga negara teratas dengan kebebasan media terbaik.

Hanya Indonesia yang bernasib lebih baik di antara negara jiran Asean, apabila terletak di tangga ke-113. Thailand berada di kedudukan 137, diikuti oleh Kemboja (144), Brunei (154), dan Singapura (160).

Malaysia di 119 berada selangkah di atas Nigeria dan Nicaragua. Congo pula pada kedudukan yang lebih baik daripada Malaysia di 118, bersama Gabon (117) dan Guatemala (116).

Dalam satu kenyataan ringkas di laman webnya, RSF menjelaskan kedudukan Malaysia jatuh disebabkan oleh gangguan, intimidasi dan penapisan akhbar.

Ia menyifatkan kerajaan pimpinan PN menghidupkan semula jabatan propaganda kerajaan berbajet tinggi dan penggunaan undang-undang yang menekan kebebasan media.

Related Articles

Video
YouTube