29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Rakyatkah yang salah, degil tidak mahu ‘Self-Lockdown’ hingga kes semakin parah?

Must read

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Rakyatkah yang salah dan degil tidak mahu ‘self-lockdown’ (sekatan pergerakan kendiri) sehingga menyebabkan kes COVID-19 di Malaysia semakin parah, soal Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu hantaran di media sosialnya, Ahmad Zahid tegas berkata ia tidak begitu malah amat yakin majoriti rakyat kalau boleh memang mahu ‘self-lockdown’ diri dan keluarga.

“Rakyat hari-hari bimbangkan keselamatan diri dan keluarga. Jika boleh tidak mahu keluar rumah sehingga keadaan kembali stabil. Tetapi bagaimana mahu ‘self-lockdown’ jika Makcik Kiah masih perlu menjaja bagi memastikan dapur rumah terus berasap.

“Bagaimana mahu ‘self-lockdown’ jika Pak Salleh masih perlu terus memandu teksi untuk mengelak rumah dan kereta disita bank. Bagaimana mahu ‘self-lockdown’ jika 60% rakyat dalam sektor swasta dan 20% dalam sektor awam tetap diwajibkan ke tempat kerja,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Tambahnya lagi, bukan sedikit jumlah rakyat masih terpaksa mengambil risiko bergerak ke sana ke sini demi ‘survival’ diri dan ahli keluarga.

“Jangan pula tuduh rakyat ‘selfish’. Tidak tahu duduk diam. Mereka telah buktikan iltizam membendung wabak COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

“Tetapi ketika itu mereka dapat bantuan yang memang wajib diberikan oleh kerajaan kepada rakyat untuk bertahan sehingga keadaan memulih. Semasa PKP 3.0 tidak boleh berhari raya pun rakyat akur. Berkorban menahan hati memendam perasaan sudah lama tidak bertemu ibu dan bapa.

“Syukut Alhamdulillah rakyat Malaysia diberikan kekuatan mental dan hati yang kuat dan tabah,” katanya.

Justeru gesanya lagi, jika mahu rakyat 100% ‘self-lockdown’ tanpa perlu ‘total-lockdown’ kerajaan perlu bantu dan rakyat mampu melakukannya.

“Jangan sesedap rasa mahu memberi peringatan kepada rakyat supaya ‘self-lockdown’ seolah-olah rakyat tidak peduli bahaya COVID-19.

“Alasan jika kerajaan terus memberi bantuan kepada rakyat akan memberi kesan kepada ekonomi negara difahami,” katanya.

Namun jelasanya dalam setiap permasalahan pasti ada resolusinya.

“Kerana itu wujud istilah musyawarah bagi mencari jalan penyelesaian. Dan kerana itu juga wujudnya Parlimen sebagai tempat untuk mencapai konsensus terbaik buat rakyat dan negara.

“Apabila tiada lagi amalan demokrasi seperti itu dan keputusan bulat-bulat ditentukan oleh satu pihak saja, maka inilah seperti yang terjadi sekarang.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikatakan tidak buat ‘total-lockdown’ kerana tidak lagi mampu menanggung skim I-sinar, Prihatin dan moratorium,” bidasnya. – UMNO ONLINE

Related Articles

Video
YouTube