23.7 C
Gombak
Sunday, August 1, 2021

Rakaman audio Zahid-Anwar ‘konspirasi peringkat tertinggi’, kata Puad

Must read

Seorang pemimpin Umno berkata, pendedahan rakaman perbualan dipercayai antara presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim adalah “konspirasi peringkat tertinggi”.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan itu bermotifkan politik.

Beliau mempersoalkan pihak manakah yang menyebarkan rakaman peribadi itu.

“Apakah Malaysia negara selamat apabila perbualan peribadi dirakam dan diviral? Butiran perbualan itu cukup jelas dan berkualiti tinggi. Ia mesti menggunakan peralatan canggih yang orang biasa tidak akan mampu memilikinya.

“Apakah ini konspirasi ‘at the highest level’. Ini bukan kerja calang-calang,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun, Zahid menafikan perbualannya dengan Anwar yang didakwa berlaku selepas beliau menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020, Mac lalu.

Terdahulu, satu rakaman dikatakan mirip suara Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial.

Sementara itu, Puad berkata pendedahan bekas ketua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya terhadap rakaman perbualan antara Najib Razak dengan Putera Mahkota UAE perlu dijadikan pengajaran.

Katanya, sehingga hari ini sejak 2018, UAE tidak lagi datang melabur di Malaysia.

“UAE melabur hampir RM130 bilion ke Indonesia. Perdana menteri (Muhyiddin Yassin) tentu ada penjelasan kenapa balik tangan kosong dari lawatan ke UAE baru-baru ini.

“Sekali lagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) terselamat kerana Parlimen tidak bersidang untuk beri peluang kepada MP pembangkang bangkitkan isu ini,” katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen boleh mendesak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Suruhanhaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara serius pendedahan rakaman peribadi itu untuk mencari keadilan.

Ternyata skandal merakam perbualan peribadi terutama melibatkan lawan politik adalah “hari hitam” kepada demokrasi di Malaysia, katanya.

“Pendedahan rakaman perbualan Zahid-Anwar berlaku sehari selepas Najib menerima notis muflis daripada Lembaga Hasi Dalam Negeri (LHDN).

“Politiking keji tidak akan berakhir. Wujudnya kluster lompat dan merakam perbualan telefon adalah natijah kerana kerajaan hari ini tidak ada majoriti jelas”.

Related Articles

Video
YouTube