25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Puteri Thai pintas kerajaan, import vaksin Covid tambahan

Must read

BANGKOK: Adik perempuan raja Thailand telah mempersetujui import vaksin koronavirus oleh institusi yang ditajanya, sekali gus memintas usaha kerajaan yang sedang berdepan lonjakan jangkitan dan kemarahan rakyat berikutan program inokulasi yang perlahan.

Setiausaha Agung Akademi Diraja Chulabhorn dalam perkongsiannya di Facebook berkata “vaksin alternatif” akan melengkapkan kempen kerajaan sehingga dapat memenuhi kepeluan negara.

Kerajaan yang sebelum ini menegaskan ia perlu mengendalikan semua import vaksin, bulan depan akan memulakan usaha imunisasi massa, yang sangat bergantung sepenuhnya pada vaksin AstraZeneca yang dikeluarkan negara itu oleh syarikat yang dimiliki raja Thai.

Pengumuman menerusi Warta Kerajaan itu mengejutkan kerajaan yang disokong oleh tentera, dan dibuat ketika Thailand berdepan wabak Covid-19 yang paling parah setakat ini.

Keputusan itu diumumkan lewat Selasa lalu sekali gus memperluaskan kemampuan Akademi Diraja Chulabhorn untuk memberi maklum balas berkaitan koronavirus.

Ia ditandatangani pengerusinya, Puteri Chulabhorn yang juga adik bongsu kepada Raja Maha Vajiralongkorn.

“Akademi Diraja akan mendapatkan ‘vaksin alternatif’ sehingga vaksin yang dihasilkan di negara ini mencapai kapasiti yang mencukupi untuk melindunginya dari wabak,” kata setiausaha agungnya, Nithi Mahanonda di Facebook, sambil menambahkan ia akan mematuhi peraturan berkaitan import dan pendaftaran.

Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul berkata dia tidak diberitahu mengenai pengumuman oleh keluarga Diraja itu sebelum ia disiarkan.

“Saya baru saja melihat pengumuman itu malam tadi” kata Anutin ketika ditanya mengenai hal itu ketika diwawancara sebuah stesen televisyen tempatan.

“Tetapi jika itu yang menguntungkan negara, kami sedia.”

Chulabhorn Royal Academy, yang merangkumi sebuah hospital dan institut penyelidikan, akan mengadakan sidang akhbar esok berhubung pembelian vaksin Sinopharm.

Thailand dijangka akan meluluskan vaksin keluaran China untuk penggunaan kecemasan minggu ini.

Tidak dinyatakan jumlah sebenar vaksin dan bila ia akan diimport oleh akademi tersebut.

Kerajaan Thailand dijangka bakal menerima 6 juta dos vaksin AstraZeneca dan 3 juta dos vaksin Sinovac bulan depan, selaras dengan usahanya untuk menginokulasi 70% daripada lebih 66 juta penduduknya menjelang akhir tahun ini.

Hospital swasta lain turut merancang untuk membeli 10 juta dos vaksin Moderna melalui sebuah syarikat milik kerajaan.

Pihak berkuasa hari ini melaporkan 47 kematian baharu koronavirus, rekod untuk hari kedua berturut-turut, menjadikan jumlah kematian 920, dengan keseluruhan 141,217 kes.

Related Articles

Video
YouTube