23.7 C
Gombak
Sunday, August 1, 2021

Pujuk wakil rakyat DAP Sabah sokong GRS kunci lebih banyak paling tadah – penganalisis

Must read

Penganalisis percaya percubaan menyakinkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sabah supaya meletakkan jawatan akan mewujudkan kesan domino dalam kalangan ADUN pembangkang di negeri lain.

Terdahulu wujud desas-desus yang mendakwa terdapatnya usaha untuk memujuk ADUN DAP Sabah supaya mengundur diri dan menubuhkan parti baharu yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pensyarah kanan UiTM Sabah , Tony Paridi Bagang berkata, sekiranya wakil rakyat DAP mengundur diri, ia akan memberi kesan psikologi yang signifikan kepada ADUN lain dalam gabungan Warisan Plus, yang kebanyakannya merupakan penyokong setia bekas ketua menteri dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Walaupun kemungkinan DAP meninggalkan gabungan berkenaan tipis, namun Bagang berkata, perbuatan“lompat parti” bukanlah asing dalam politik Sabah.

Beliau berkata, ia juga merupakan ujian kepada wakil rakyat DAP untuk melihat sejauh mana mereka menjunjung nilai dan prinsip parti yang menentang amalan itu.

“Ini boleh disimpulkan sebagai percubaan yang bersifat ‘oportunistik’.

“Seandainya mereka meninggalkan DAP dan bergabung atau menubuhkan parti baharu , ia akan melahirkan musuh baharu kepada DAP dan memecahkan sokongan pengundi Cina,” kata beliau.

“Di Sabah, lompat parti dalam kalangan ADUN sudah menjadi sebahagian daripada dinamika politiknya.

“Oleh itu, seandainya ADUN DAP memutuskan untuk lompat parti, perkara itu (lompat parti) akan dianggap boleh diterima, malah dikukuhkan di sini.”

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin sebelum ini mendakwa wujudnya ejen politik, termasuk ahli perniagaan ternama, yang cuba menarik ADUN DAP di Sabah keluar parti dan membentuk sebuah parti Cina yang baharu, yang kemudiannya akan menyokong GRS.

Chan juga mendakwa, memandangkan tiada wakil rakyat berbangsa Cina dalam Kabinet negeri dan GRS berasa mereka perlukan individu bagi mewakili komuniti Cina.

Bagaimanapun kata beliau, “tawaran” tersebut terlebih dahulu ditolak 6 ADUN dan 3 Ahli Parlimen DAP Sabah.

Setakat ini katanya, kesemua mereka kekal bersama Warisan Plus.

“Pendirian DAP terhadap ‘katak’ (lompat parti) sentiasa konsisten. Keutamaan dalam kalangan gabungan parti pembangkang ialah perpaduan , biarpun dugaan dan godaan datang dalam pelbagai bentuk,” tambah Chan.

ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, yang keluar Warisan bulan lalu, merupakan wakil rakyat pembangkang pertama yang melompat ke GRS selepas pilihan raya negeri Sabah tahun lalu.

Susulan itu, terdapat spekulasi bahawa lebih ramai ADUN yang lain akan mengambil keputusan yang sama.

Namun, sehingga kini ia tidak berlaku seperti didakwa.

Sementara itu, pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah Romzi Ation bersetuju dengan pandangan Bagang.

Beliau berkata, ejen berkenaan “berani” melakukan percubaan itu walaupun sedia maklum berkenaan prinsip DAP berhubung perbuatan melompat parti.

Katanya, ini kerana lompat parti sudah menjadi budaya dalam politik di Sabah.

“Alasannya adalah ADUN Sabah dilihat lebih berminat dengan kepentingan peribadi berbanding rakyat.

“Biarpun mereka ini daripada DAP, mereka tetap orang Sabah,” jelas beliau.

Romzi juga berkata, idea untuk beralih haluan ke parti lawan mungkin tidak akan berkesan dalam kalangan ahli politik DAP.

Husteru katanya, sentimen sebagai “wakil komuniti Cina” dilihat lebih relevan untuk memancing ahli politik terbabit bertukar haluan.

Rakan sejawat Romzi, Lee Kuok Tiung, bagaimanapun meragui dakwaan yang dibuat Chan.

Beliau berkata, GRS hanya akan terjerat dalam dilema baharu seandainya mereka menerima ADUN DAP yang keluar parti.

“Mereka yang bekerja keras membantu dan menyokong GRS dalam pilihan raya negeri tahun lalu sehingga kini belum mendapat apa-apa jawatan.

“Seandainya ADUN DAP menyertai GRS, ia hanya akan membuatkan gabungan itu ‘pening kepala’ dalam memastikan pembahagian jawatan dilakukan secara adil di antara penyokong setia dengan orang baharu.

“Saya percaya Ahli Parlimen Kota Kinabalu hanya mengambil kesempatan untuk mencetuskan spekulasi dengan mendakwa terdapat ejen yang cuba mendekati wakil rakyat mereka, tetapi enggan mendedahkan nama individu yang terlibat,” jelas beliau.

Related Articles

Video
YouTube