26.9 C
Gombak
Tuesday, May 11, 2021

PPBM, Pas akur Saarani MB Perak baharu

Must read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan Pas Perak akur keputusan parti peringkat pusat yang bersetuju menyokong calon yang dikemukakan UMNO, Datuk Saarani Mohammad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Berikutan itu empat daripada lima ADUN Bersatu, tiga ADUN Pas dan seorang ADUN Bebas serta seorang dari Gerakan telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong pelantikan Saarani yang merupakan Pengerusi UMNO Perak.

ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, semua mereka telah menyerahkan akuan bersumpah berkenaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, mereka membuat keputusan itu berdasarkan persefahaman yang diambil di peringkat pusat oleh presiden parti Bersatu, Pas dan UMNO.

“Itulah keputusan yang kami sembah maklumkan kepada Sultan Perak.

“Ini juga arahan yang diberikan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Pengerusi Bersatu Perak dan menyatakan sokongan terhadap keputusan presiden-presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika ditemui pemberita di luar Istana Kinta di sini selepas menghadap Sultan Nazrin hari ini.

Zainol Fadzi menghadap Sultan Perak bersama Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bersatu-Tualang Sekah); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Bersatu-Kuala Kurau), Paul Yong (Bebas-Tronoh) dan A. Sivasubramaniam (Gerakan-Buntong).

Zainol Fadzi berkata, Ahmad Faizal akan menghadap Sultan Perak selepas ini kerana beliau kini berada di Parlimen.

Mengenai seorang lagi ADUN Bersatu, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim, katanya, ADUN Titi Serong itu telah menghadap Sultan Perak semalam.

Sementara itu, Pas Perak turut mengesahkan tiga ADUN parti itu telah menandatangani akuan bersumpah menyokong pelantikan Saarani.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Pas peringkat negeri menzahirkan perkara yang diputuskan oleh ketiga-tiga presiden parti.

Pas mempunyai tiga ADUN iaitu Razman (Gunung Semanggol), Mohd. Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Related Articles

Video
YouTube