28.6 C
Gombak
Friday, July 23, 2021

Poster ‘Jajaran Baharu’ Cubaan Timbulkan Persepsi Negatif – Pemuda UMNO

Must read

Pemuda UMNO hari ini bukan sahaja melontarkan persoalan malah menjawab dengan mendalam beberapa poster yang cuba menggunakan taktik ‘psywar’ dengan membentuk persepsi kononnya UMNO telah membentuk jajaran kerjasama baharu bersama Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Soal Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuk  menerusi catatan di Facebooknya, siapakah sebenarnya yang kepanasan dan jika diperhalusi profil-profil media sosial yang menularkan poster-poster ini, kebanyakannya menggunakan akaun palsu atau penyokong PN terutamanya PPBM dan tidak dapat pula dipastikan sama ada mereka adalah penerima elaun tetap JKOM.

“Apakah benar UMNO bekerjasama dengan PH (PKR,DAP atau PAN)…Pendirian UMNO sebagaimana yang diputuskan dalam Perhimpunan Agong UMNO (PAU) pada 28 Mac 2021 dan seterusnya diperincikan dan diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) 25 April 2021 jelas bahawa UMNO tidak akan bekersama dengan PKR mahupun DAP. Juga tidak akan bersama dengan PPBM dalam PRU-15.

“Persoalan seterusnya apakah mungkin Jajaran Baharu dibentuk? Sebarang perubahan dasar yang diputuskan di Perhimpunan Agong dan Majlis Kerja Tertinggi termasuk jika mahu membentuk jajaran baharu hanya boleh dibuat dan diputuskan oleh PAU dan MKT.

“Tiada individu hatta Presiden Parti sekalipun boleh merubah atau meminda keputusan ini. Sehingga hari ini, keputusan tiada kerjasama dengan PH masih kekal. Justeru tidak timbul sebarang bentuk Jajaran Baharu,” katanya.

Kata beliau lagi pelik juga geng-geng penyokong PPBM ini semakin meroyan walhal mereka lupa yang PPBM ditubuhkan hasil perbincangan antara Tun Mahathir dengan Lim Kit Siang betapa perlu menubuhkan sebuah parti Melayu sebagai komponen PH untuk menarik sokongan dan memecahkan undi Melayu antara 10-15% bagi membolehkan PH menang dan memerintah dalam PRU-14 lalu.

Ternyata katanya lagi formula tersebut telah berjaya merealisasikan hasrat DAP dan rakan-rakan mereka dalam PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.

“Hakikatnya UMNO satu-satunya parti yang tidak pernah bersama dengan DAP mahupun PKR. Yang pasti Pemuda UMNO akan terus berpegang kepada ketetapan PAU dan keputusan MKT untuk terus menjadi jurubicara rakyat dan agen ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan yang ada demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat ‘without fear or favour’” ujarnya. – UMNO Online

Related Articles

Video
YouTube