32.4 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Polis Malaysia Tembak Mati Lima Militan Filipina Berkaitan IS di Sabah

Must read

Polis Malaysia pada Selasa memberitahu mereka menembak mati lima suspek ahli Kumpulan Abu Sayyaf, sebuah organisasi militan pro-Islam yang berpusat di selatan Filipina, dalam satu kejadian berbalas tembakan di Sabah, dengan sel tempatan dikesan meningkatkan pengambilan ahli dalam kalangan pendatang asing tanpa dokumen.

Insiden berbalas tembakan itu berlaku di Beaufort, sebuah daerah di barat Sabah, selepas lebih seminggu polis menahan lapan suspek Kumpulan Abu Sayyaf dan 29 yang lain dari kawasan yang sama di negeri Malaysia di Pulau Borneo itu setelah mendapat maklumat daripada pihak berkuasa Filipina, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali.

“Operasi susulan semalam yang melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menembak mati lima lagi anggota Abu Sayyaf yang bersembunyi di sebuah rumah setinggan di kawasan paya bakau di Beaufort,” kata Hazani pada satu sidang media.

Seramai 37 orang yang ditangkap pada 10 Mei, termasuk lapan wanita dan 21 kanak-kanak, masih ditahan polis di Sabah, katanya.

“Kami percaya operasi ini, yang dijalankan bersama oleh Polis Diraja Malaysia Sabah dan pasukan perisikan ESSCOM, telah dapat melumpuhkan sel Kumpulan Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah dan telah melakukan ba’iah dengan Daesh atau IS [Islamic State],” kata Hazani yang merujuk kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah.

Lima suspek yang ditembak mati itu dapat mengelak tangkapan semasa operasi pada awal bulan ini dengan melarikan diri ke sebuah kawasan paya bakau, dan kembali ke lokasi yang sama beberapa hari kemudian, kata polis.

Kesemua suspek itu dikatakan terlibat dalam kes pengeboman dan tembakan dengan anggota keselamatan marin Filipina di Kompleks Bud Bawis di Panamao, Sulu, pada 2011, 2018, 2019 dan November 2020, kata Hazani.

Mereka adalah antara militan yang, menurut pihak tentera Filipina, telah melarikan diri untuk mengelak daripada ditangkap di Sulu, sebuah wilayah yang merangkumi pulau-pulau di selatan Filipina.

“Kami mengesyaki masih ada saki baki ASG [Kumpulan Abu Sayyaf] atau kumpulan lain yang berkaitan dengan Daesh dan mereka yang bersimpati dengannya yang masih bersembunyi di Sabah,” kata Hazani.

Pada Isnin, suspek tersebut melepaskan tembakan ke arah polis pada kira-kira 11.30 pagi semasa mereka bersembunyi di kawasan itu, kata pesuruhjaya polis berkenaan.

“Seorang daripada lelaki itu telah membuka pintu rumah dan mula menembak ke arah polis. Rakan-rakannya juga turut menembak dan menyerang [para pegawai] dengan parang,” kata Hazani.

“Polis membalas tembakan itu menyebabkan lima lelaki di dalam rumah itu terbunuh.”

Menurut Hazani, Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan militan yang berkaitan dengan Negara Islam (IS) telah menyusup masuk ke Sabah susulan tindakan keras pihak berkuasa di Sulu.

“Sabah merupakan kawasan yang selamat dan tempat untuk merekrut ahli bagi menyokong ASG dalam kalangan pendatang tanpa izin di Sabah,” kata Hazani mengenai ribuan pendatang Filipina di negeri sempadan itu.

“Pantai Barat dan kawasan pedalaman [Sabah] kini menjadi tempat persembunyian ahli kumpulan pengganas ini kerana kawasan ini aman sedikit jika dibandingkan dengan Pantai Timur yang mempunyai ESSCOM dan aktif menjalankan operasi [di sana].”

Polis percaya bahawa pesimpati tempatan turut membantu militan tersebut, katanya.

Militan yang ditembak mati itu termasuk pemimpin sub kumpulan itu, Mabar Binda, yang kakaknya Sansibar Bensio adalah antara yang ditangkap dalam serbuan pada 10 Mei lalu. Kedua-duanya dikehendaki oleh pihak berkuasa Filipina kerana disyaki terlibat dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan dan penculikan warga asing, kata Hazani pada awal bulan ini.

Suspek yang lain yang terbunuh ialah ahli ASG iaitu Abhirham Samsula (juga dikenali sebagai Samsed), Jurakhdam Binda (juga dikenali sebagai Jura atau Abu Jar) dan Alsimar Sukarno yang berasal dari Jolo di selatan Filipina, kata Hazani.

Semua identiti mereka disahkan oleh agensi keselamatan Filipina, kecuali seorang yang identitinya masih belum diketahui, kata pesuruhjaya polis Sabah itu.

“Identitinya tidak diketahui, tetapi kami mengesyaki dia adalah dari kumpulan yang sama, Abu Sayyaf,” kata Hazani.

‘Sabah menjadi pusat transit militan asing’

Sementara itu, komander ESSCOM Ahmad Fuad Othman berkata operasi pemantauan ke atas suspek ASG telah dimulakan pada Mac di Silabukan, sebuah bandar di daerah Lahad Datu.

Unit-unit dari Pasukan Petugas Bersama Sulu telah memaklumkan mengenainya kepada pihak ESSCOM, kata Leftenan Jeneral Corleto Vinluan Jr iaitu Ketua Komando Mindanao Barat tentera Filipina kepada BenarNews pada awal bulan ini.

“Kami mempunyai perkongsian maklumat rentas sempadan dengan rakan sejawatan kami di Filipina bagi mengesan pergerakan kumpulan [Abu Sayyaf],” kata Hazani.

Operasi polis Malaysia terhadap ASG menunjukkan peranan penting perkongsian risikan rentas sempadan dan antara agensi dalam membanteras kegiatan kumpulan militan seperti itu, kata Ramli Dollah, seorang pakar keselamatan serantau.

Sebagai contoh, katanya, Filipina, Malaysia dan Indonesia telah melancarkan rondaan tiga pihak pada 2017 bagi mencegah tindakan lanun dan penculikan di laut di kawasan sempadan maritim mereka.

Pada Januari tahun lalu, pasukan keselamatan Malaysia melancarkan operasi yang dinamakan “Ops Gasak” untuk melakukan pemeriksaan dokumen imigresen mereka yang disyaki bekerja sebagai “pemantau” bagi kumpulan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.

Satu daripada jenayah itu melibatkan penculikan lima rakyat Indonesia yang dipercayai dilakukan suspek ahli ASG di perairan wilayah Sabah pada 16 Januari 2020.

“Sejak pihak berkuasa Sabah memperhebatkan pelaksanaan ‘Ops Benteng’ untuk memantau kegiatan pendatang tanpa izin di negeri ini terutama di pantai timur Sabah, satu-satunya tempat yang dapat menjadi tapak persembunyian militan ini adalah di Pantai Barat termasuk di daerah pedalaman di Keningau dan Beaufort,” kata Ramli kepada BenarNews.

Malaysia memulakan operasi “Ops Benteng” pada Mei 2020 untuk memastikan keselamatan sempadannya diperkukuhkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk membendung penularan pandemik COVID-19.

Sabah telah sekian lama menjadi tempat transit militan asing dari Indonesia yang mahu menuju ke zon konflik di selatan Filipina yang bergolak, kata Ramli.

“Ini bukanlah isu baru. Malah, semasa wujudnya Jemaah Islamiyah dan Darul Islam pada awal tahun 2000-an, misalnya, Sabah memang menjadi laluan dan pusat transit utama antara Indonesia dan selatan Selatan, ”kata Ramli yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Kemanusiaan, Kesenian dan Warisan di Universiti Malaysia Sabah.

“Selain itu, semasa konflik di Ambon, Poso, Sambas dan Maluku di Indonesia, Sabah menjadi pusat transit bagi kumpulan tersebut.”

Related Articles

Video
YouTube