25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

PKP: Sektor Perkilangan Patut ‘Berkorban’ Seperti Peniaga Kecil Tutup 14 Hari – Najib Razak

Must read

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempersoal langkah kerajaan yang membenarkan sebahagian industri kilang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadual bermula esok.

Beliau meluahkan bagaimana sektor elektrikal dan elektronik yang merupakan antara sektor terbesar negara dengan 600,000 pekerja secara langsung dibenarkan beroperasi.

“Jika sektor ini dibenarkan beroperasi maka banyak lagi kilang-kilang pembekal secara langsung dan tidak langsung serta sektor berkaitan seperti pengangkutan dan pelabuhan juga perlu dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa.

“Dijadikan pula sebagai sektor perkhidmatan perlu dengan alasan untuk menjaga kepentingan rantaian ekonomi global,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, pada tempoh PKP sektor ini juga seharusnya berkorban untuk hanya 14 hari seiring dengan peniaga-peniaga kecil yang turut sama akur bagi memastikan rantaian penularan COVID-19 ini dapat dihentikan.

“Jadi, siapa pula nak jaga kepentingan negara dan kepentingan ekonomi rakyat yang tuntut lockdown penuh untuk memberi impak maksima kepada keadaan COVID-19 amat kritikal sekarang dalam tempoh tersingkat?

“Siapa pula yang akan menegakkan keadilan bagi jutaan rakyat biasa serta peniaga kecil yang perlu berkorban dalam tempoh lockdown penuh ini manakala kilang-kilang besar yang dimilik syarikat-syarikat multinasional (MNC) dan syarikat besar yang kaya terus menjana keuntungan tanpa sebarang gangguan?

“Jika perlu berkorban, kita sama-sama berkorban. Bukan ramai yang berkorban sehingga terkorban manakala ada pula yang langsung tidak terkesan,” tegas beliau.

Beliau juga berharap sektor-sektor lain dipantau sekiranya produk yang dikeluarkan mereka semakin berkurang dalam pasaran.

“Jika stok sedia ada adalah cukup untuk memenuhi keperluan bagi tempoh 14 hari maka kilang itu sepatutnya ditutup.

“PKP sudah dua kali separuh masak. Janganlah ‘total lockdown’ juga menjadi tiga suku ‘lockdown’. 14 hari sahaja,” kata beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut melontarkan persoalan sama berkenaan kewajaran kerajaan yang mengkategorikan sektor perkilangan dalam perkhidmatan penting negara.

Beliau melalui hantaran di Facebook juga berharap Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberikan penjelasan berkenaan perkara ini.

“Saya cadangkan untuk Azmin Ali tampil secara secara langsung dalam sidang media untuk menjelaskan rasional setiap industri kilang yang diluluskan atas nama perkhidmatan penting.

“Antara yang saya kurang faham kilang elektronik dan elektrikal yang turut dibenarkan operasi atas nama keperluan. Setuju?” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Related Articles

Video
YouTube