31.4 C
Gombak
Wednesday, May 12, 2021

PH desak usul undi tidak percaya Muhyiddin dibentang di Dewan Rakyat sebelum 17 Dis

Must read

Pakatan Harapan mahukan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diberi keutamaan oleh kerajaan pada sesi Dewan Rakyat sekarang bagi menamatkan ketidaktentuan politik yang turut memberi impak kepada ekonomi negara.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH berkata penurunan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+ oleh Fitch Ratings menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan.

“Ini adalah lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu,” kata kenyataan itu yang ditandatangani pemimpin utama PKR, DAP, dan Amanah selepas mesyuarat mereka petang tadi.

Menurut gabungan pembangkang itu, keadaan ekonomi dan politik negara yang tidak stabil itu harus ditangani dengan pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat sebelum sesi Parlimen berakhir 17 Dis.

“Demi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan halatuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi, dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara …kerajaan perlu menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya (terhadap Muhyiddin) yang telah dibawa Ahli-Ahli Parlimen,” kata PH.

Gabungan itu juga menuduh Muhyiddin sebagai gagal mengutamakan ketelusan dan tatakelola baik seperti melaksanakan tender terbuka dan pelantikan profesional bukannya ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC).

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sekian lama, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Turut berbuat demikian adalah tokoh Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata usul berkenaan hanya boleh dibentangkan setelah segala urusan kerajaan selesai atau diberi laluan oleh kerajaan.

Related Articles

Video
YouTube