23.7 C
Gombak
Sunday, August 1, 2021

Perlu instrumen tegas tangkis berita palsu

Must read

Sepatutnya lebih awal lagi kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 untuk memerangi aktiviti penghasilan dan penyebaran berita tidak benar.

Ini kerana tempoh setahun ini mencabar apabila kita berhadapan penularan berita palsu, khususnya berhubung COVID-19 hingga mencetuskan panik, curiga dan ketakutan dalam kalangan rakyat.

Tambahan lagi, ketika kita bekerja dari rumah hingga menyebabkan penggunaan platform media sosial tinggi dalam tempoh itu.

Penularan berita palsu seperti status hospital, zon kawasan, perangkaan jangkitan dan ‘fakta alternatif’ berleluasa termasuk ubat, kononnya menyembuhkan COVID-19.

Semakin tinggi kita berhadapan COVID-19, berita palsu pantas mengejar.

Malah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui laman Sebenarnya.my terpaksa mencantas penularan berita palsu.

Tidak cukup dengan itu, media arus perdana bertungkus-lumus mengeluarkan pelbagai maklumat dan infografik untuk menjelaskan fakta sebenar.

Ternyata, kita masih ketinggalan dari segi adaptasi media literasi dan budaya fact-checking sedangkan penggunaan media sosial begitu tinggi dalam kalangan rakyat serta tabiat keinginan keterlaluan untuk berkongsi maklumat.

Kita masih tidak mempunyai sikap kesederhanaan dalam mendapatkan berita dan keterbukaan untuk memperoleh banyak maklumat serta membuat perbandingan.

Populasi penduduk negara ini hampir mencecah 33 juta, manakala World Internet Stats merekodkan 29.1 juta pengguna internet dan hampir 27 juta pengguna Facebook.

Berdasarkan pemerhatian, akses internet dan aplikasi media sosial meningkat hampir 2 juta hingga 3 juta.

Sebab itulah, kita perlu ordinan mencegah berita palsu untuk membendung penularannya. Apatah lagi apabila berhadapan pandemik atau bencana alam.

Daripada menganggap ordinan itu sebagai instrumen menyekat kebebasan bersuara dan media, masyarakat perlu melihat dari segi perspektif lebih luas. Kita perlu memberi perhatian bagaimana penyebaran fakta betul mampu membentuk masyarakat sihat dari segi penggunaan dan perkongsian maklumat.

Kita masih belum memiliki instrumen menggunakan kecerdasan buatan (AI) sesuai untuk menangkis penularan berita palsu dalam konteks tempatan. Oleh itu, sebagai negara mempunyai pelbagai etnik, sensitiviti kaum dan agama amat penting dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan rakyat.

Justeru, instrumen lebih tegas dari segi hukuman diperlukan. Perkara 4(1) Ordinan terbabit menetapkan sebarang proses penghasilan berita tidak benar, hingga menimbulkan ketakutan atau kebimbangan orang awam, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000, denda tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ia sangat dialu-alukan kerana kita berhadapan krisis pandemik dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan memerlukan komitmen rakyat untuk mendaftar bagi mencegah penularan berita palsu.

Kita tidak mahu berita palsu berhubung program imunisasi diputarbelitkan, malah dakyah daripada fahaman ekstremis yang menganggap pengambilan vaksin bercanggah dengan ideologi mereka.

Hakikatnya, negara jiran sudah pun melaksanakan ordinan seperti ini. Banyak negara serantau menyedari peraturan untuk ruang siber adalah penting.

Indonesia berada dalam fasa disebut Access Controlled – rangkaian mekanisme menekankan pelbagai jenis elemen kawalan dan membatasi akses berlebihan terhadap pengetahuan dan maklumat.

Singapura pula memperkenalkan undang-undang terhadap berita palsu meskipun ia dibantah kumpulan hak asasi yang berpendapat menyekat kebebasan bersuara. Akta Perlindungan daripada Berita Palsu dan Manipulasi dalam Talian diluluskan pada Mei tahun lalu.

Sudah pasti ordinan ini akan membantu media khususnya yang turut berkor- ban bersama barisan hadapan membuat liputan krisis COVID-19 tidak kira waktu dan masa bagi memberikan maklumat betul terhadap rakyat.

Media negara ini perlu diberikan penghargaan dalam pemberitaan krisis ini. Malah, ia membantu SKMM mengenal pasti sumber dan agenda berita palsu ditularkan di negara ini.

Harus diingat, SKMM sudah menjalankan kempen Freedom of Speech but not Freedom to Lie, manakala Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga membuat pemakluman hampir setiap hari, namun penularan berita palsu masih berleluasa.

Warga asing juga jika dituduh melakukan sebarang kesalahan di bawah ordinan itu di negara ini, bakal menghadapi hukuman sama.

Menurut Perkara 5 Ordinan berkenaan, individu dikesan menyalurkan bantuan kewangan, sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi membantu proses penghasilan berita tidak benar, juga boleh dikenakan pertuduhan.

Hakikatnya, ordinan sebegini sangat penting kerana kita perlu memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mesti berjaya kerana ia adalah jawapan besar bagi pandemik itu.

Prof Madya Dr Sara Chinnasamy
Penganalisis Politik & Media Sosial, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Related Articles

Video
YouTube