28.6 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

Perketat PKP Untuk Kebaikan Bersama… Dibantu Bantuan Tunai Kepada Rakyat – Ahmad Zahid

Must read

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan desakan parti agar kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara ketat untuk tempoh tertentu bukan bermaksud tidak cakna dengan nasib golongan pekerja.

Katanya, cadangan tersebut malahan mengambil kira nasib semua pekerja waima pekerja kilang, pekerja pasar raya, pekerja pejabat mahupun mereka yang bekerja sendiri.

“Sebab itu desakan total lockdown seiring dengan desakan bantuan tunai secukupnya kepada rakyat, moratorium pukal dan skim i-Sinar 2.0.

“Perniagaan pause sementara mampu bertahan jika moratorium automatik diberi untuk satu tempoh yang munasabah. Begitu juga andai gaji pekerja dipotong, dengan bantuan tunai, moratorium dan skim i-Lestari serta i-Sinar 2.0 mereka akan dapat bertahan.

“Ini berbeza dengan total lockdown suam-suam kuku ketika ini apabila sebahagian perniagaan terpaksa terus beroperasi. Namun mencatatkan kerugian demi kerugian disebabkan pasaran yang lembab dan perlahan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional itu lagi, akhirnya golongan pekerja juga berisiko menghadapi pengurangan gaji dan elaun atau lebih teruk dibuang kerja.

“Sebaliknya kes jangkitan COVID-19 kekal tinggi disebabkan masih ramai rakyat perlu ke sana ke sini untuk bekerja. Jika keadaan ini berterusan mungkin lebih ramai golongan M40 tergelincir dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40.

“Mungkin lebih ramai rakyat terpaksa hidup bergelandangan kerana tidak lagi mampu untuk menyewa rumah. Mungkin lebih banyak kes cubaan terjun bangunan kerana mengalami tekanan hidup akan dilaporkan.

“Kerajaan bertindaklah segera kasihanilah rakyat. Utamakan rakyat serta bantulah rakyat memerangi COVID-19,” ulas beliau. – UMNO Online

Related Articles

Video
YouTube