26.4 C
Gombak
Friday, July 30, 2021

Perjuangan Zahid belum selesai

Must read

Sanggupkah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menawarkan diri untuk berundur sebagai presiden parti pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno esok?

Persoalan ini menjadi buah mulut, bukan sahaja dalam parti tetapi juga di persada politik negara yang semakin bergolak.

Zahid kini menghadapi perbicaraan atas pelbagai tuduhan rasuah. Kes rasuah beliau dijadikan paluan kompang oleh kumpulan tertentu dalam dan luar Umno untuk mendesak beliau berundur.

Benar, ada antara mereka berbuat demikian kerana kepentingan diri, bukannya parti. Mereka ini berada dalam Umno dan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Jumlah mereka segelintir sahaja, namun politik kumpulan ini cukup memualkan kerana mereka mengangkat diri sebagai ‘suara akar umbi’ Umno.

Kumpulan ini bukan setakat mahukan Zahid berundur tetapi menuntut pemilihan Umno diadakan dalam tempoh terdekat, kononnya untuk memastikan Umno menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat akar umbi.

Kumpulan ini mahu mencatur barisan kepimpinan baharu yang akan tunduk kepada telunjuk mereka. Mereka bukan sahaja mahu menggantikan Zahid, tetapi juga timbalan presiden dan sesiapa lagi yang “tidak sebulu dengan jenama politik bertunjangkan PN-PAS yang dibawa mereka.

Pendek kata, desakan mereka adalah atas percaturan politik yang mengutamakan untung pihak lain, bukan Umno, jauh sekali negara dan rakyat.

Alasan mereka bahawa pemilihan parti tidak boleh ditunda, walaupun ketika negara di ambang pilihan raya tidak masuk akal sama sekali.

Mereka mahu Umno mengadakan pemilihan pucuk pimpinan berserta kempen hangat ketika gabungan parti lawan sudah pun mula berunding pengagihan kerusi dan SPR sendiri membuat persiapan PRU.

Niat mereka ini jelas – mengkucar-kacirkan Umno sebaik mungkin untuk pihak luar menjaringkan ‘gol terbuka’ dan membenamkan Umno pada PRU15.

Zahid sudah pun membaca strategi ini sejak awal dan tidak segan silu untuk menyerang mereka, baik semasa Perhimpunan Agung Umno lalu atau menerusi media sosialnya.

Namun, angkara kumpulan ini tidak boleh memadam keperluan Zahid untuk mempertimbang kelebihan atau ‘advantage’ yang bakal diperolehi Umno jika beliau berundur dan orang lain dijadikan panglima perang utama parti pada PRU15.

Panglima baharu itu sudah pun tersedia tanpa mengadakan pemilihan (buat masa ini) iaitu timbalan beliau, Mohamad Hassan.

Zahid tentunya sedar hubungan Umno-PAS dalam Muafakat Nasional ibarat telur di hujung tanduk. Malah, tidak keterlaluan dikatakan, telur itu sudah pun jatuh berkecai, berdasarkan kenyataan-kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Hadi sudah mula menggambarkan Umno parti yang dibelit pelbagai masalah dalaman dan tidak menepati janji. Lebih penting, beliau mahukan sebarang kerjasama politik Umno-PAS turut melibatkan Bersatu – sesuatu mustahil berlaku.

Justeru, ibarat pinggan tak retak, nasi tak dingin, Umno harus menerima hakikat bahawa lambat laun, PAS akan menyertai Bersatu dan Dr Mahathir Mohamad dalam menggunakan ‘Kluster Mahkamah’ untuk menyerang Zahid dan Umno, secara keseluruhan sebagai parti yang pemimpinnya dibelit tuduhan rasuah.

Mesej ‘rasuah’ ini akan dibawa secara lantang ke PRU15.

Mohamad mempunyai ciri-ciri yang boleh menangkis peluru modal politik ini. Banyak yang sudah diperkatakan mengenai ketokohan Tok Mat Hasan. Beliau pemimpin diam-diam ubi berisi dan reputasi tidak tercalar.

Mungkin sifat pendiamnya perlu diolah sedikit sebanyak, namun ketokohannya sebagai pemimpin Melayu yang berkaliber, dengan akal minda yang mampu mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi dan kesihatan sekarang, sukar dipertikaikan.

Tok Mat boleh memberikan nafas baru yang diperlukan oleh Umno untuk mendekati semula pengundi Melayu dan bukan Melayu, memperolehi sokongan pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak.

Namun, sama ada Zahid akur dengan hakikat ini menjadi tanda tanya.

Sekiranya hasrat musuh-musuh Zahid mahukan pemilihan parti untuk menukar Zahid dan sesiapa lain yang “tidak sebulu” dengan mereka gagal dicapai, mereka tidak keberatan jika Zahid terus memimpin Umno dalam PRU.

Keadaan itu akan memudahkan mereka menyerang Umno sebagai parti Melayu yang lesu, hanya berpolitik, tidak bermoral, dan menyimpan pemimpin dibelit tuduhan rasuah.

Tentunya, tuduhan itu tidak adil buat Umno dan Zahid sendiri, namun politik adalah mengenai persepsi semata-mata, bukan “rule of law”.

Bagaimanapun, mimpi buruk untuk musuh dalam dan luar Umno akan bermula jika Zahid bersetuju berundur dan Mat Hasan dilantik pemangku presiden Umno, seorang pemimpin tanpa kontroversi dan berwawasan untuk memimpin parti itu pada PRU15. Pemilihan parti hanya diadakan selepas PRU15.

Zahid sekian lama dikenali sebagai pemimpin berjiwa besar, murah hati, dan senang didekati. Namun demi Umno, Melayu dan Islam, Zahid perlu berikhtiar supaya Umno diperkasa semula.

Zahid perlu tutup semua ruang bagi demang-demang politik Umno yang rakus ini untuk mencaturkan siapa yang akan memimpin Umno dalam saat-saat genting ini. Terbukti motif utama puak ini ialah mempertahankan kerusi empuk mereka kini tidak kira parti mana mereka wakili.

Adalah bijaksana jika Zahid ‘bercuti sementara’ daripada memberi laluan kepada puak yang semakin luntur kasih mereka pada Umno memimpin Umno ke arah kemusnahan “total” dalam PRU-15.

Esok, hari penting untuk memperolehi pertanda sama ada nilai-nilai luhur Zahid itu akan terpancar apabila beliau dan MKT membincangkan masa depan Umno dalam menuju ke gelanggang PRU15.

Related Articles

Video
YouTube