28.6 C
Gombak
Friday, July 23, 2021

Perdana Menteri Malaysia Terima Sokongan Penuh Kabinet Terus Tadbir Negara

Must read

Jemaah Menteri Malaysia termasuk sembilan daripada UMNO, parti terbesar dalam pakatan pemerintah Malaysia pada Rabu mengumumkan sokongan padu mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri, beberapa hari selepas Presiden parti itu membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin.

Pengumuman itu, sekaligus menunjukkan tanda-tanda perpecahan semakin meruncing dalam Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu –UMNO, yang mempunyai bilangan Anggota Parlimen paling ramai dalam gabungan parti-parti politik yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Dalam satu kenyataan media, kabinet kerajaan Perikatan Nasional turut menegaskan bahawa semua keputusan kerajaan adalah dibuat secara kolektif oleh mereka, dan fokus mereka adalah untuk membawa negara keluar dari krisis pandemik COVID-19.

“Ahli-ahli Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada 14 Julai 2021 telah membuat keputusan sebulat suara untuk kekal memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Ahli-ahli Jemaah Menteri juga ingin memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pandangan semua pihak.

“Keutamaan Kerajaan pada ketika ini adalah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar dari pandemik COVID-19,” kata kenyataan itu.

Kenyataan Jemaah Menteri itu dipercayai sebagai respon terhadap UMNO, yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak dalam gabungan parti-parti politik yang mendukung kerajaan PN, yang pada minggu lepas memutuskan untuk menarik balik sokongan parti itu terhadap Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Pada 8 Julai lepas, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa parti itu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri berkuatkuasa serta merta, dan menggesa supaya Muhyiddin meletakkan jawatan dengan terhormat. Parti itu bagaimanapun tidak menarik kerjasama mereka dari gabungan PN.

Kabinet yang mentadbir kerajaan pusat di bawah pimpinan Muhyiddin mempunyai sejumlah 32 menteri termasuk Muhyiddin sendiri, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dan empat orang Menteri Kanan dengan 29 lagi Anggota Parlimen yang memenangi kerusi di kawasan masing-masing semasa Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, manakala tiga lagi adalah Senator yang dilantik oleh Perdana Menteri.

Sembilan Anggota Parlimen UMNO yang dilantik sebagai Menteri Kabinet adalah Ismail Sabri, Menteri Kanan Luar Negeri Hishammuddin Hussein; Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa; Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican; Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin; Menteri Perpaduan Halimah Sadique dan Menteri Kesihatan Adham Baba.

Ismail Sabri, Noraini, Reezal Mericaan, dan Shamsul Anuar adalah ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Gabungan kerajaan PN mempunyai wakil paling banyak dari UMNO iaitu seramai 39 Anggota Parlimen berbanding 31 daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), di mana ramai di kalangan pemimpin UMNO yang tidak puas hati dengan Muhyiddin kerana mendakwa Perdana Menteri tersebut meminggirkan UMNO dalam kerajaan gabungan pemerintahannya itu.

Penarikan sokongan oleh UMNO membuatkan kerajaan Perikatan Nasional, yang tidak dipilih melalui pilihan raya itu berada dalam keadaan goyah kerana Muhyiddin memerintah negara dengan majoriti tipis, namun, beberapa penganalisa politik berpandangan yang nasib sebenar Muhyiddin bergantung kepada Anggota Parlimen UMNO yang berpecah, dengan tidak kesemuanya bersama menerima keputusan parti tersebut.

Tidak tunduk pada desakan

Penganalisa politik Tunku Mohar Mokhtar berkata kenyataan media oleh Jemaah Menteri itu sebenarnya memberikan isyarat kepada Ahmad Zahid bahawa Perdana Menteri tidak akan tunduk kepada desakan supaya beliau meletakkan jawatan, serta menunjukkan kepada presiden UMNO berkenaan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengawal ahli partinya sendiri.

“Ini adalah cara Jemaah Menteri untuk memberitahu Ahmah Zahid bahawa Perdana Menteri tidak akan meletakkan jawatan seperti gesaan beliau, kerana kabinet termasuk Anggota Parlimen UMNO menyokong Perdana Menteri.

“Sejauh mana ini melemahkan Zahid masih belum dapat dilihat, tetapi sokongan dari para Menteri UMNO kepada Perdana Menteri memberikan gambaran bahawa Ahmad Zahid tidak mempunyai kawalan keatas ahli partinya sendiri,” kata ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.

Bagaimanapun, menurut Tunku Mohar, kenyataan dikeluarkan Jemaah Menteri itu turut menunjukkan bahawa Muhyiddin mempunyai bilangan sokongan yang rapuh.

Ia juga memberikan imej buruk kepada Kabinet kerana mengumumkan sesuatu yang menjadi pengetahuan umum, tambah beliau.

“Kenyataan ini bersifat politik. Apabila Kabinet sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk menunjukkan sokongan terhadap Perdana Menteri, ia hanya menunjukkan betapa rapuh sokongan yang dimiliki beliau. Ia juga membuatkan seluruh Jemaah Menteri nampak buruk.

“Dan dengan keluarnya kenyataan sebegini, ia hanya menunjukkan bahawa Perdana Menteri perlu untuk diyakinkan dan umum perlu tahu,” kata Tunku Mohar lagi.

Related Articles

Video
YouTube