23.7 C
Gombak
Sunday, August 1, 2021

Penindasan etnik Uighur ‘jenayah terhadap kemanusiaan’, kata Amnesty

Must read

Minoriti Islam di Xinjiang berdepan jenayah terhadap kemanusiaan dan pencabulan hak asasi manusia lain yang serius, kata Amnesty. (Gambar Reuters)LONDON: Penindasan terhadap ratusan ribu minoriti Uighur Islam bersamaan “jenayah terhadap kemanusiaan”, menurut sebuah laporan kumpulan hak asasi manusia Amnesty International yang diterbitkan semalam.

Dalam dokumen 160 muka surat yang disertai testimoni bekas tahanan kem-kem di wilayah Xinjiang, barat laut China itu, Amnesty memperincikan apa yang disifatkannya sebagai “pemenjaraan beramai-ramai, penderaan dan penyeksaan yang dirancang negara secara sistematik, bersamaan jenayah terhadap kemanusiaan”.

Laporan tersebut mencatatkan apa yang digelar kumpulan hak asasi sebagai “langkah-langkah melampau” oleh pihak berkuasa China sejak 2017 terhadap etnik Uighur dan minoriti etnik Turki lain.

“Pihak berkuasa China telah mencipta ‘neraka distopia’ pada skala yang mengejutkan,” kata Setiausaha Agung Amnesty Agnès Callamard.

“Minoriti Islam berdepan jenayah terhadap kemanusiaan dan pencabulan hak asasi manusia lain yang serius.”

Tambahnya, penderaan sebegitu sepatutnya “mengejutkan hati nurani kemanusiaan”.

Sejak awal 2017, menurut laporan tersebut, sebilangan besar lelaki dan wanita di Xinjiang telah ditahan secara sewenang-wenangnya.

“Mereka termasuk ratusan ribu yang dihantar ke penjara, tambahan kepada ratusan ribu – mungkin sejuta atau lebih – lain yang dihantar ke kem tahanan,” katanya.

Lebih daripada 50 bekas tahanan yang ditemu bual Amnesty berkata, mereka ditahan atas perbuatan seperti memiliki gambar bertema keagamaan atau berkomunikasi dengan individu di luar negara.

Ramai tahanan menceritakan bahawa mereka mula-mula disoal siasat di balai polis, di atas kerusi besi di mana mereka ditambat dengan besi di kaki dan digari.

Kata mereka, dipukul, kekurangan tidur dan kesesakan menjadi kelaziman, dan dalam kem tahanan yang “dikawal ketat”, mereka tiada privasi mahupun autonomi, selain berisiko dijatuhkan hukuman yang keras.

Dalam laporannya, Amnesty berkata, kerajaan China berusaha keras menyembunyikan pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang dilakukannya di Xinjiang.

Walaupun berdepan kecaman sedunia, Beijing berulang kali menafikan berlakunya sebarang penyeksaan di situ, dengan berkata kem-kem berkenaan bertujuan untuk menyekat ekstremisme dan merangsang pendapatan.

Related Articles

Video
YouTube