27.3 C
Gombak
Thursday, July 29, 2021

Pengarah filem Tamil terkenal ditemui mati di kediamannya

Must read

Seorang pengarah filem Tamil terkenal tempatan ditemui meninggal dunia di kediamannya di Jalan Air Panas, Setapak, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.30 malam, sebelum pasukan polis bergegas tiba ke lokasi kejadian.

Menurutnya, polis terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memecah pintu bilik mangsa yang terkunci dari dalam.

“Ketika ditemukan mangsa sudah meninggal dunia dan perkara itu disahkan oleh pasukan paramedik yang memeriksa mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Ashari turut memaklumkan, berdasarkan maklumat awal daripada saksi yang juga rakan sekerja mangsa, mendiang memintanya untuk tidak diganggu dan ingin bersendirian di bilik.

“Hasil siasatan pada tubuh badan dan tempat kejadian juga tiada sebarang unsur jenayah ditemui,” jelasnya.

Kes itu katanya, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

Dua hari sebelum kejadian, pengarah muda berusia 32 tahun itu memuat naik sebuah video berdurasi 5.03 minit dalam Instagramnya.

Dalam rakaman berkapsyen official announcement, mendiang mendedahkan dia berdepan dengan masalah kewangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang memaksanya berhutang.

Pun begitu, dia menyatakan yang dia berjaya keluar daripada kemelut itu sebelum mendapat tawaran baik pada PKP 2.0.

Namun demikian, katanya, ia tidak begitu mendatangkan ‘hasil’ dan sejarah berulang lagi.

“Apabila saya mengambil keputusan untuk bergerak secara berdikari, produser tidak banyak memberi kerjasama sehingga saya terpaksa berhutang. Tapi saya tetap berdepan semua masalah itu dan tidak lari, menyembunyikan diri.

Mendiang pernah mengarah lebih 500 program meliputi pelbagai bahasa termasuk Tamil, Melayu, Telugu, Punjabi, Inggeris dan Mandarin.

“Saya ingin mengumumkan secara rasmi bahawa saya akan mengeluarkan sebuah video muzik kepada mereka yang memberi sokongan sepanjang 15 tahun karier saya. Ini merupakan projek terakhir saya sebagai pengarah.

“I’m officially signing off,” katanya sebelum mengakhiri video tersebut.

Dalam pada itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam satu kenyataan, menzahirkan takziah kepada keluarga mendiang.

“FINAS dengan rasa sedih dan dukacita ingin mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga pengarah dan penggiat industri filem dan televisyen. Semoga dipermudahkan urusan ahli keluarga beliau dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini,” kata kenyataan itu.

Related Articles

Video
YouTube