29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Pemuda UMNO Lontar Tujuh Rasional Moratorium 2.0 Automatik Tidak Terhad Kepada B40

Must read

Pemuda UMNO hari ini menggesa Kerajaan agar memanfaatkan sepenuhnya kuasa di bawa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk segera memastikan institusi perbankan dan kewangan negara menawarkan moratorium 2.0 tanpa caj atau faedah tambahan selama 3 bulan secara automatik.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata langkah itu juga perlu disusuli dengan perlaksanaan yang tidak terhad hanya pada golongan B40 sahaja, bagi meringankan beban rakyat sekaligus menjamin ketenangan dan kesihatan mental rakyat sepanjang menjalani PKP Penuh atau ‘Total Lockdown’.

Pada masa yang sama beliau turut menyenaraikan tujuh rasional dan justifikasi langkah berkenaan terhadap penangguhan pembayaran ansuran pinjaman atau pembiayaan yang diberikan kepada rakyat.

“Pertama memastikan keupayaan tunai rakyat tidak terjejas akibat perlaksanaan ‘total lockdown’ hingga menyebabkan ekonomi negara turut terkesan teruk akibat penurunan drastik perbelanjaan isi rumah terutamanya dalam membiayai keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan utiliti (Elektrik, Air dan Internet).

“Rata-rata berhadapan dengan masalah tunai akibat simpanan yang merosot teruk berbanding PKP 1.0 dahulu akibat PKP yang berpanjangan sebelum ini.

“Keduanya penangguhan bayaran ansuran pinjaman bank juga dapat mengelakkan daripada berlakunya fenomena kemuflisan akibat kejatuhan teruk pendapatan syarikat-syarikat PKS, golongan bekerja sendiri dan isi rumah yang tiada pendapatan tetap termasuk M40 akibat pandemik Covid-19 berpanjangan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Seterusnya yang ketiga tambah Asyraf fenomena muflis dalam kalangan rakyat akibat pendapatan yang terjejas dan ketidakupayaan membayar ansuran pinjaman atau pembiayaan bank akan menyebabkan kerosakan teruk kepada ekonomi negara sekaligus memberi kesan langsung terhadap operasi dan tahap kestabilan institusi perbankan dan kewangan tempatan.

Keempat tambah Asyraf penawaran moratorium mampu menjamin kestabilan sistem kewangan (financial stability) sekaligus mengelakkan bank-bank berhadapan dengan fenomena ketidakupayaan pelanggan membayar balik hingga membawa kepada peningkatan kadar NPL (Non-Performing Loan) atau Pinjaman Tak Berbayar.

“Kelima keupayaan institusi perbankan tempatan menyerap sebarang potensi kejutan pasaran (market shock) masih berada pada tahap yang kukuh sebagaimana piawai antarabangsa (IMF) dan Bank Negara Malaysia.

“Institusi perbankan tempatan mempunyai tahap modal yang sihat dan mampu mendukung aliran kredit ekonomi negara berdasarkan Nisbah Modal Keseluruhan (Total Capital Ratio) di tahap 18.1% melebihi dari keperluan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu minima 8% dengan Lebihan Modal Penampan (Capital Excess Buffer) mencecah RM126.3 bilion pada Februari 2021.

“Keenam tahap kecairan (liquidity) bank-bank tempatan juga berada dalam keadaan yang sihat berdasarkan laporan Tahap Liputan Kecairan (Liquidity Coverage Ratio) BNM bagi sistem perbankan negara iaitu pada 145.1% dan melebihi keperluan minimum 100% walaupun melaksanakan Moratorium 1.0 ketika PKP 1.0.

“Walaupun terdapat peningkatan pada Peruntukan Kerugian Kredit (Provision for Credit Losses) sistem perbankan negara dari bulan ke bulan, ia tetap hanya 1.8% dari jumlah keseluruhan pembiayaan (pinjaman) sistem berjumlah hampir RM1.85 trilion,” ujarnya.

Ujarnya lagi perlaksanaan Moratorium 1.0 terdahulu juga ternyata tidak menjejaskan keupayaan institusi perbankan menjana keuntungan malah bank-bank tempatan baru mengumumkan keuntungan selesa bagi Suku Pertama Tahun 2021 seperti contoh Maybank (RM2.39 billion), Public Bank (RM1.53 billion), Hong Leong Bank (RM2.17 billion) RHB Bank (RM650.39 juta), Bank Islam (RM202.46 juta) dan Affin Bank (RM68.94 juta).

“Di samping tujuh rasional di atas, Pemuda UMNO menggesa Kerajaan untuk mengarahkan agensi-agensi pembiayaan dan kredit milik Kerajaan yang memberi fokus kepada golongan B40 dan Perusahaan Mikro seperti MARA, TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank dan lain-lain untuk melaksanaan moratarium bagi peserta-peserta program mereka.

“Pengalaman pelaksanaan moratarium pada PKP 1.0 boleh dijadikan ASAS untuk pelaksanaan moratarium ‘Total Lockdown’ yang lebih efisien sekaligus membantu rakyat yang berhadapan dengan keadaan yang sulit sepanjang ‘Total lockdown” yang dilaksanakan,” tegasnya. – UMNO Online

Related Articles

Video
YouTube