28.6 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

Pemuda UMNO gariskan 7 sebab TH tidak wajar diletakkan bawah BNM

Must read

Pemuda UMNO menggariskan tujuh sebab rasional yang tidak mewajarkan langkah kerajaan meletakkan Lembaga Tabung Haji di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

Sebab pertama dinyatakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki adalah status institusi simpanan umat Islam itu bukannya sebuah bank yang menjalankan aktiviti menawarkan pinjaman mahupun insurans atau takaful kepada orang ramai.

Kedua, beliau berkata, TH juga tidak terdedah kepada risiko kredit berkaitan dengan kebarangkalian peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman yang merupakan fokus utama BNM.

“Ketiga, TH bukannya bank yang ada jaminan ke atas wang-wang pendeposit hanya dijamin sebanyak RM250,000 oleh Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (PIDM), sebaliknya di bawah Akta Tabung Haji 1995, setiap sen wang pendeposit dijamin oleh kerajaan tanpa had.

“Keempat, TH bukannya bank yang kadar hibah bank dikawal selia oleh BNM supaya tidak terlalu jauh nilainya agar wujud padang yang sama rata, bagi mengelakkan pendeposit mudah berpindah dari satu bank ke bank lain.

“Sebaliknya, TH bebas menawarkan hibah berasaskan keuntungan selepas tolak zakat selagi tidak melanggar zkta dan dipersetujui oleh Lembaga Pengarah serta diluluskan oleh Ketua Audit Negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Rasional kelima yang digariskan Asyraf Wajdi tidak mewajarkan langkah tersebut adalah aktiviti utama TH bukannya sebuah perbankan tetapi menguruskan dana pendeposit bagi tujuan pelaburan.

Beliau berkata, selain melakukan pelaburan dalam bentuk jual beli saham dan sekuriti, institusi simpanan umat Islam itu juga terlibat dalam aktivisi perkongsian dan perusahaan di samping turut menubuhkan anak syarikat dalam pelbagai bentuk perniagaan antaranya seperti perladangan, hartanah, perhotelan, minyak dan gas.

“TH bukan bank yang hanya fokus aktiviti memberi pinjaman, sebaliknya terlibat dalam banyak bentuk perniagaan selaras dengan mandat Akta Tabung Haji yang jelas di luar skop kawal selia dan kepakaran BNM.

“Sebagai contoh, BNM sebagaimana peranan bank pusat di seluruh dunia tidak punya kepakaran mengawal selia aktiviti perniagaan selain pinjaman dan insurans yang terdedah kepada pelbagai risiko lain selain risiko kredit seperti perladangan, hartanah, perhotelan, minyak dan gas dan lain-lain.

“TH adalah institusi seperti syarikat pengurusan dana yang lebih sesuai dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) berbanding BNM,” jelas beliau.

Pada 18 Julai lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan keputusan meletakkan TH di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia BNM bertujuan menambah baik pengurusan serta operasi TH secara menyeluruh.

Tengku Zafrul berkata, langkah itu juga diambil untuk melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya sejajar dengan amalan standard tadbir urus baik yang ditetapkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pencegahan Rasuah (UNCAC).

Mengulas mengenai perkara tersebut Asyraf Wajdi berkata, sekiranya tadbir urus merupakan isu yang menjadi pertimbangan kerajaan dalam isu berkenaan, beliau mencadangkan lima langkah boleh diambil diambil kerajaan dalam usaha menambah baik aspek itu.

Pertama, beliau berkata, TH boleh dipecahkan kepada dua sektor utama iaitu sektor pengurusan dana dan sektor operasi pengurusan haji.

Beliau berkata, sektor pengurusan dana bertanggungjawab menguruskan wang simpanan bakal haji dan ditadbir secara profesional oleh pihak pengurusan dana bertauliah serta berlesen mengikut garis panduan yang ditetapkan SSM.

Bagi sektor operasi pengurusan haji pula, Asyraf Wajdi berkata, ia akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam pengendalian kebajikan dan urusan jemaah haji dari aspek sebelum menunaikan haji sehingga pengurusan manasik haji sepanjang berada di Tanah Suci yang merupakan kelebihan dan kepakaran utama TH sejak awal penubuhan.

“Kedua, pembahagian dua sektor ini bagi memastikan mereka yang mengurus dana dan membelanjakan dana adalah daripada dua entiti yang berbeza. Ini dapat meningkatkan lagi tahap keberkesanan dan kecekapan tadbir urus korporat TH.

“Ketiga, Lembaga TH merupakan badan induk yang mengawal kedua-dua sektor ini dengan lembaga pengarah dan pengurusannya masing-masing serta tidak boleh berlaku pertindihan personaliti mahupun tanggungjawab.

“Ini memastikan wujud kemandirian (independence) antara dua sektor yang terlibat dengan pengurusan dana dan penggunaan dana dalam bentuk operasi haji,” ujarnya.

Keempat, Asyraf Wajdi mencadangkan supaya pemilihan ahli Lembaga TH dan Lembaga Pengarah bagi kedua-dua sektor terbabit dilakukan oleh sebuah Jawatankuasa Parlimen bagi memilih calon berkelayakan, profesional dan mempunyai kepakaran khusus mengikut keperluan aktiviti perniagaan TH.

“Kelima, pemilihan Ahli Lembaga TH dan Lembaga Pengarah kedua-dua sektor di atas mesti bebas daripada mereka yang berjawatan dalam mana-mana parti politik.

“Amalan ini boleh diambil manfaat daripada Garis Panduan Tadbir Urus Institusi Kewangan oleh BNM yang mensyaratkan antara kriteria Ahli Lembaga Pengarah Bank tidak boleh menjawat jawatan parti politik,” katanya.

Related Articles

Video
YouTube