31.6 C
Gombak
Saturday, April 17, 2021

Pemandu terlelap dipercayai punca bas terbalik

Must read

Terlelap seketika dipercayai menjadi punca bas ekspres terbabas sebelum terbalik di Kilometer (KM) 265.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora, di sini, awal pagi hari ini yang mengakibatkan 14 individu cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, insiden mengakibatkan dua daripada 14 penumpang bas berkenaan parah, manakala 11 yang lain hanya cedera ringan.

Mangsa yang parah adalah seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun yang parah di kepala dan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun yang parah di pinggang.

Beliau berkata, pemandu bas berusia 39 tahun yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu turut mengalami cedera ringan di kaki.

Sementara, seorang lagi penumpang tidak mengalami kecederaan.

Katanya, tangkapan dibuat ke atas pemandu terbabit selepas pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 19 rekod saman lampau individu bagi kesalahan trafik selain tiga rekod saman lampau bagi bas yang dipandunya itu.

“Siasatan mendapati bas yang dipandu dari Kulim menuju ke Kuala Lumpur itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik di sebelah kiri parit (longkang) jalan disebabkan pemandunya disyaki terlelap seketika semasa memandu.

“Kesemua mangsa berusia antara 14 hingga 59 tahun itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan sedang menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Nordin berkata, kejadian berlaku di kawasan selekoh sewaktu bas berkenaan sedang menuruni kawasan berbukit tidak jauh selepas keluar dari Terowong Menora.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Related Articles

Video
YouTube