30.9 C
Gombak
Thursday, February 25, 2021

PAS Perak mohon ampun kepada Sultan Perak

Must read

PAS Perak menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu tidak menghadap seperti dititahkan baginda, Selasa lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dijadual akan mengadap baginda, namun tarikh dan waktunya masih belum diketahui.

Beliau juga mengesahkan surat tersebar di media sosial, berkenaan permohonan Abdul Hadi untuk mengadap Sultan Nazrin adalah benar.

“Maka kami, saya Razman Zakaria (ADUN Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (ADUN Selama) dan Khalil Yahaya (ADUN Kubu Gajah) dengan rendah diri menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin di atas kekhilafan tidak dapat mengadap seperti dititahkan baginda kepada kami bertiga pada 3 petang Selasa lalu.

“Sehubungan itu, PAS Perak akan mengutuskan surat memohon ampun dan maaf atas perkara itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Perak di sini, hari ini.

Razman turut memaklumkan surat bagi menyatakan permohonan maaf pihaknya kepada Sultan Nazrin akan dihantar petang ini.

“PAS Perak sentiasa menjunjung tinggi institusi kesultanan negeri Perak Darul Ridzuan dan menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Petang ini juga kita hantar (surat ke istana). Tunggu jawapan dari istana (untuk Abdul Hadi mengadap). Surat (permohonan mengadap (Abdul Hadi) sudah sampai (istana),” katanya.

Sebelum ini, Razman memaklumkan keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.

Ditanya mengenai jawatan EXCO Perak, Razman berkata, senarai nama wakil dari ADUN PAS sudah diserah kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

“Sudah ada dengan Menteri Besar (nama ADUN PAS),” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dilaporkan berkata, pelantikan EXCO daripada PAS dalam kerajaan negeri hanya akan dimuktamadkan Sultan Nazrin.

Ketua Umno negeri itu berkata, pihaknya hanya boleh mencadangkan nama EXCO mengikut kesesuaian, tetapi hak memperkenankan pelantikan itu terletak pada kuasa mutlak Sultan Perak.

BACA SINI
Lantikan Exco Perak dari PAS terserah kepada perkenan Sultan Perak, kata Saarani
https://malaysiannow.com/lantikan-exco-perak-dari-pas-terserah-kepada-perkenan-sultan-perak-kata-saarani

Related Articles

Video
YouTube