31.6 C
Gombak
Saturday, April 17, 2021

PAS hadapi kesulitan kerana sertai PN tanpa persetujuan UMNO, kata Tajuddin

Must read

Tindakan PAS menyertai Perikatan Nasional tanpa persetujuan UMNO untuk bersama parti serpihannya, PPBM, menyebabakan parti Islam itu kini terikat dalam keadaan yang menyulitkan, kata Pengarah Pilihan Raya Tajuddin Abdul Rahman.

Pemimpin UMNO itu mahu PAS selesaikan segala kesulitan yang terjadi kesan penyertaan mereka sebagai komponen PN, mengingatkan partinya mahu setia dengan janji bekerjasama dengan parti Islam itu dan tidak akan bertembung di kawasan yang sudah dipersetujui.

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini mahu parti itu bertanding di semua kerusi tradisinya yang kini disandang wakil rakyat PPBM, keadaan yang akan membawa kepada pertembungan antara dua parti pemerintah itu. Penganalisis berkata PAS akan berdepan dilema sekiranya percakaran antara dua parti Melayu itu membawa kepada pertembungan.

“Saya nak ingatkan kepada pemimpin PAS apa hukum berjanji. Janji mesti ditunaikan. Mereka sertai PN bersama PPBM itu tanpa persetujuan kita,” kata Tajuddin kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pemuda, Wanita, dan Puteri UMNO Pasir Salak.

“Sekarang mereka sudah terikat dalam keadaan begitu rupa dan menimbulkan kesulitan.”

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa, berkata rundingan kerusi antara UMNO dan PAS sudah 60 hingga 70% sudah selesai, dengan PAS tidak akan meletakkan calon di 55 kerusi yang ditandingi UMNO dan parti Melayu itu tidak akan meletakkan calon di 18 kerusi yang ditandingi parti Islam itu.

Menurut laporan Berita Harian, bagi kawasan yang kedua-dua parti gagal pertahankan, parti yang mendapat undi lebih akan bertanding di situ.

Rundingan BN dengan PN, yang mana PAS juga komponennya, akan menyusul.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, sebelum ini menegaskan UMNO, PAS, dan PPBM perlu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 bersama kerana tidak mampu menghadapi PRU bersendirian.

“Janji ikrar pada masa itu (sebelum Muafakat Nasional) kita berdua (UMNO dan PAS) akan membentuk satu kerjasama politik bagi menghadapi musuh politik, termasuk PPBM, pada masa itu, sebelum terbentuknya PN,” jawab Tajuddin hari ini.

Related Articles

Video
YouTube