28.6 C
Gombak
Friday, July 23, 2021

Menteri Undang-Undang Disiasat Polis Atas Kenyataan Berhubung Titah Agong

Must read

Pemimpin sayap pemuda sebuah gabungan parti pembangkang Malaysia pada Khamis telah memfailkan laporan polis terhadap Menteri Undang-undang negara itu di atas kenyataan dibuat beliau mengenai titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Takiyuddin Hassan, yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kabinet pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dikatakan telah berlaku biadap dan menderhaka terhadap Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan menyatakan bahawa baginda tidak menetapkan sebarang tarikh dan mempertahankan rancangan kerajaan untuk membuat persidangan Parlimen paling awal pada September ini.

Susulan daripada itu, satu laporan polis oleh ketua pemuda Pakatan Harapan Shazni Munir Mohd Ithnin dan beberapa ahli politik lain di seluruh negara telah diterima pihak berkuasa negara itu dengan Ketua Polis Negara pada Jumaat mengumumkan bahawa pihak Polis telah membuka siasatan terhadap Takiyuddin dan akan memanggil semua yang berkaitan sekiranya perlu.

“Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan terhadap Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Sekiranya diperlukan, individu-individu yang berkaitan akan dipanggil untuk membantu siasatan,” kata Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan yang Ibupejabat Polis DiRaja Malaysia pada petang Jumaat sebagai respon terhadap pertanyaan diterima Acryl daripada pihak media mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Takiyuddin.

Ketua Polis Negara bagaimanapun tidak menyatakan apakah peruntukan undang-undang yang digunakan dalam siasatan tersebut.

Pada petang Rabu lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu telah menyatakan hasrat mereka supaya Parlimen dibuka semula dengan secepat mungkin. Titah itu dibuat susulan persidangan khas Raja-Raja Melayu yang diadakan di Istana Negara pada hari tersebut bagi membincangkan situasi semasa negara termasuk mengenai krisis pandemik COVID-19.

Parlimen Malaysia tidak bersidang bagi tahun ini kerana digantung susulan Proklamasi Darurat yang diisytihar kerajaan pada 11 Januari lepas, dan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos depan.

Beberapa jam selepas titah Al-Sultan Abdullah, Takiyuddin memberitahu satu wawancara atas talian bersama media milik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menetapkan sebarang tarikh, dan mempertahankan rancangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai pembukaan semula parlimen pada bulan September.

“Ini perkataan yang dikeluarkan dalam kenyataan Istana Negara, bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan perlu diadakan pada bulan berapa. (Baginda menitahkan) secepat mungkin.

“Jadi seperti yang Perdana Menteri kata, sama ada bulan September atau Oktober. Sekarang pun sudah hampir penghujung bulan Jun, Sudah hampir, pasti akan diadakan,” kata Takiyuddin dalam wawancara bersama Harakah Daily, yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook media PAS tersebut.

Perbuatan Derhaka

Komen yang dikeluarkan oleh Takiyuddin itu telah mendapat reaksi negatif dari pelbagai pihak, termasuk Anggota Parlimen dari parti kerajaan dan juga pembangkang, serta orang ramai.

Susulan daripada itu, Pemuda Pakatan Harapan pada Khamis telah melancarkan satu gerakan untuk menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap menteri tersebut, dengan ahli-ahlinya di seluruh negara dikerahkan untuk membuat laporan polis.

Antara mereka adalah Shazni Munir yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada tengahari Khamis bersama-sama Ketua Pemuda Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan Asmaalif Abdul Adam, dan Ahli Parlimen Batu dari Parti Keadilan Rakyat, P Prabakaran.

“Ini kali kedua Takiyuddin Hassan memandai-mandai memberi komentar terhadap skop yang beliau tidak patut sentuh pun. Kali ini kami rasa sudah sampai masa beliau sendiri disiasat atas keceluparan dan kebiadaban beliau.

“Laporan polis ini juga akan dibuat di seluruh negara,” kata Shazni kepada media selepas selesai membuat laporan polis.

Prabakaran yang mewakili Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan pula berkata bahawa Takiyuddin patut meletakkan jawatannya sebagai menteri sekiranya beliau didapati melanggar titah Yang di-Pertuan Agong.

“Mereka perlu buka kamus semula dan lihat apa maksud segera. Segera itu maksudnya hari ini, atau esok, atau minggu depan. Bukan sampai September. Kenyataan yang dibuat Menteri Undang-undang sangat tidak memuaskan dan mengelirukan.

“Ini bukan taraf menteri. Ini menunjukkan bahawa mereka ini melanggar titah Yang di-Pertuan Agong. Jadi saya rasa kalau dia betul-betul melanggar, letak jawatanlah,” kata Prabakaran.

Selain itu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik, Lim Guan Eng turut menyatakan ketidakpuasan hati beliau terhadap komen dibuat oleh Takiyuddin, dan menyifatkan Setiausaha Agung parti PAS itu sebagai penderhaka.

“Apa yang begitu sukar difahami mengenai titah Diraja bahawa parlimen perlu bersidang secepat mungkin?

“Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan harus dipecat kerana tidak menghormati undang-undang dan secara terbuka derhaka terhadap Raja dan hasrat rakyat agar Parlimen diadakan “secepat mungkin” seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja semalam,” kata Lim dalam satu kenyataan melalui laman Facebook beliau pada Khamis.

Isu tersebut turut menarik kritikan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang merupakan Anggota Parlimen dari Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang menganggotai gabungan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin

“Yang di-Pertuan Agong tidak titah bulan berapa untuk buka sidang Parlimen. Kan PM8 (Muhyiddin) sudah jamin bulan September atau Oktober?”

“(Nanti) Bila sampai akhir bulan Oktober, PM8 tak kata pun bulan September atau Oktober tahun apa. Begitu?,” kata Najib secara sinis melalui laman Facebook beliau.

Related Articles

Video
YouTube