29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Mempolitik asal-usul Covid hanya menghalang siasatan, kata duta China di AS

Must read

Joe Biden meminta agensi perisikan AS untuk ‘menggandakan’ usaha bagi menyiasat asal usul wabak Covid-19. (Gambar AP)SHANGHAI: Mempolitikkan asal-usul Covid-19 hanya akan menghalang siasatan lanjut dan melemahkan usaha antarabangsa untuk membendung wabak itu, kata kedutaan China di AS selepas Presiden Joe Biden mengarahkan asal usul virus itu dikaji semula.

Kedutaan China di Washington dalam satu kenyataan di laman webnya semalam berkata “sesetengah kuasa politik terlalu fokus terhadap manipulasi politik dan permainan tuding menuding”.

Ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersiap untuk memulai fasa kedua siasatan mengenai asal-usul Covid-19, China ditekan untuk memberi lebih banyak akses kepada penyiasat berikutan dakwaan bahawa SARS-CoV-2 berasal dari sebuah makmal yang mengkhusus dalam penyelidikan koronavirus di bandar Wuhan.

China berulang kali menafikan dakwaan itu, mengatakan AS dan negara-negara lain sekadar cuba mengalihkan perhatian dari kegagalan mereka sendiri untuk membendung virus tersebut.

Biden berkata semalam agensi perisikan AS berbelah bahagi sama ada Covid-19 “muncul dari hubungan manusia dengan haiwan yang dijangkiti atau kemalangan di makmal”.

Felo kanan kesihatan global Majlis Hal Ehwal Luar Negeri di Washington, Yanzhong Huang berkata kurangnya keterbukaan China adalah faktor utama di sebalik wujudnya teori kemalangan di makmal.

“Tidak ada apa-apa yang baru untuk membuktikan hipotesis mereka,” katanya. “Dalam siasatan asal-usul pandemik, sangat penting untuk memiliki ketelusan bagi membina kepercayaan dalam hasil penyelidikan.”

‘Kajian menyeluruh’

Kedutaan China berkata ia menyokong “kajian komprehensif semua kes awal Covid-19 yang ditemui di seluruh dunia dan siasatan menyeluruh terhadap beberapa pangkalan dan makmal biologi rahsia di seluruh dunia.”

Tabloid Global Times, sebahagian daripada kumpulan akhbar parti komunis People’s Daily, berkata jika “teori kebocoran makmal” perlu diselidiki lebih lanjut, AS juga perlu membenarkan penyiasat memasuki kemudahannya sendiri, termasuk makmal di Fort Detrick.

“Sangat jelas mereka cuba untuk ‘mengantarabangsakan’ jalan keluar dari masalah yang sedang mereka hadapi,” kata felo kanan badan pemikir Majlis Atlantik, Jamie Metzl, yang turut mendesak satu siasatan bebas baharu dijalankan.

Satu kajian bersama China-WHO yang diterbitkan pada bulan Mac berkata sangat mustahil untuk SARS-CoV-2 terlepas dari makmal, sambil menambah kemungkinan besar ia tersebar dari kelawar kepada manusia melalui spesies perantara yang belum dikenalpasti.

China juga turut menegaskan kemungkinan bahawa Covid-19 berasal dari negara lain dan masuk melalui makanan sejuk beku yang dijangkiti atau melalui jaringan perdagangan hidupan liar Asia Tenggara.

“Wabak itu bermula di China,” kata Metzl. “Mari kita mulakan dengan siasatan penuh di sana dan dikembangkan jika perlu. Ringkasnya, (kenyataan dari kedutaan) ini adalah penghinaan yang keterlaluan bagi setiap mangsa yang telah terkorban akibat tragedi dahsyat itu dan keluarga mereka.”

Huang dari CFR berkata, siasatan lebih lanjut mengenai asal-usul Covid-19 kini berdepan jalan “buntu”.

“Sebaik-baiknya anda mahu China lebih bekerjasama dan lebih telus,” kata Huang. “Tapi sekarang, masalah ini sangat dipolitikkan, dengan meletakkan pertaruhan yang terlalu tinggi ke atas hasil siasatan.”

Related Articles

Video
YouTube