25.7 C
Gombak
Saturday, May 15, 2021

MB Perak tumbang, kalah usul undi percaya

Must read

Usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak memihak kepadanya apabila 10 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bersetuju, 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali.

Terdapat 59 Adun di negeri Perak.

Speaker DUN Perak Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan keputusan undi belah bahagi dilakukan menggunakan kertas undi yang diedarkan.

Sebelum itu hanya dua Adun yang berbahas iaitu Abd Manaf Hashim Adun (Umno-Pengkalan Baharu) dengan Razman Zakaria (Umno-Gunung Semanggol).

Terdahulu Zahir berkata usul undi percaya terhadap Faizal menepati syarat dan tidak melanggar peraturan DUN dengan 45 Adun bersetuju usul ini diluluskan manakala 9 Adun tidak bersetuju.

Menerusi surat bertarikh 18 November, Abd Manaf Hashim menyatakan Faizal (Bersatu-Chenderiang) tidak mempunyai keyakinan majoriti Adun di negeri itu.

Justeru, beliau memohon membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan di bawah Perintah-Perintah Tetap 26 (1) dibaca bersama Perintah Tetap 27 (3) Dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Perkembangan itu berikutan ketidakpuasan hati Umno Perak yang sebelum ini meminta Faizal berhenti “bermain politik” dan memfokuskan kebajikan rakyat.

Krisis ini tercetus selepas Adun Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim, dilantik setiausaha politik Faizal yang dikatakan dibuat tanpa kebenaran Ketua Umno Perak Saarani Mohammad.

Saarani dilaporkan mendakwa Faizal merendah-rendahkan Umno dengan tindakan yang membelakangi semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati yang dipersetujui ketika Bersatu, Umno dan PAS membentuk kerajaan selepas menggulingkan Pakatan Harapan.

Faizal mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 pada Mac lalu.

Related Articles

Video
YouTube