25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Malaysia Catat Rekod Baharu Kematian Akibat COVID-19

Must read

Malaysia hari ini melaporkan jumlah kematian tertinggi iaitu 39 orang akibat COVID-19 sejak negara itu dilanda pandemik tersebut pada Januari 2020 dengan jumlah kes baharu mencecah hampir 5,000 ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan menjelang sambutan Aidilfitri, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Menurut Noor Hisham, jumlah kes baharu yang dicatat adalah yang tertinggi sejak 31 Jan lepas dengan 14 jangkitan baharu daripada varian Afrika Selatan B1.351 turut dikesan di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan kes bagi varian yang membimbangkan (VOC) di negara itu setakat ini ialah 62.

Beliau juga berkata terdapat satu kes bagi VOC daripada varian India 1.617.2.

“Dengan 39 kes kematian yang direkodkan hari ini, setakat ini jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini meningkat kepada 1,761.

“Bagi kes baharu pula, sebanyak 4,765 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas dan jumlah kes harian boleh mencecah 5,000 pada pertengahan Mei,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Malaysia mencatatkan sejumlah 5,298 kes pada 31 Jan lepas.

Noor Hisham juga berkata sejumlah 3,214 orang pulih daripada COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di negara itu setakat ini ialah 411,360.

“Unit rawatan rapi (ICU) juga sesak selepas menempatkan 469 pesakit yang mana 244 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Kes aktif juga menunjukkan trend menaik sejak 6 April, meningkat daripada 14,161 kepada 40,101 dalam tempoh 24 jam lepas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata satu kes bagi varian yang perlu diberikan perhatian (VOI) daripada varian India melibatkan melibatkan warga asing telah dikesan di Malaysia.

“Pesakit itu tiba di Malaysia pada 7 April 2021 dan menjalani ujian saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa.

“Kedua-dua ujian yang dijalankan pada 7 April dan 12 April disahkan negatif,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata individu itu kemudian telah dibawa ke Jabatan Kecemasan selepas mengalami simptom COVID-19 yang serius.

“Kesihatan individu terbabit merosot dan meninggal dunia pada 1 Mei 2021,” katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad memohon maaf kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19 semasa lawatannya ke Langkawi pada hujung minggu lepas.

Katanya beliau sedia dikenakan tindakan undang-undang bagi kesalahan itu.

“Perkara ini tidak harus berlaku. Saya minta maaf kerana tidak patuh SOP. Saya akan terima tindakan mengikut undang-undang berkaitan,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Mahathir membuat permohonan maaf itu selepas rakaman video lawatannya tular di media sosial pada Selasa.

Rakaman itu dimuat naik di laman media sosial antaranya oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak yang sebelum ini dikompaun RM3,000 kerana melanggar SOP semasa makan di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Menurut Mahathir, beliau balik ke Langkawi pada Sabtu lepas untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan Parlimen yang diwakilinya sempena bulan puasa dan menjelang sambutan Aidilfitri termasuk sumbangan raya kepada penduduk di Surau Tsunami Batu Arang, Kuah.

“Saya dimaklumkan pada acara tersebut, saya telah melanggar SOP dengan tidak mengambil suhu badan apabila masuk ke surau. Ini merupakan satu kesalahan,” katanya.

Mahathir juga berkata SOP yang ditetapkan oleh kerajaan tidak harus dipandang ringan kerana ia dibuat untuk membendung jangkitan penyakit.

“COVID-19 adalah wabak yang serius dan penyakit ini tidak mengenali sesiapa mahupun sempadan kawasan. SOP harus dipatuhi tidak kira oleh sesiapa kerana ini dapat bantu bendung merebaknya penyakit ini. Kita tidak harus ambil ringan,” katanya.

Awal minggu ini, Mahathir membuat kenyataan khas melalui video yang menggesa orang ramai bersabar dan berkorban untuk memastikan penularan COVID-19 dapat ditangani dengan mematuhi nasihat kerajaan serta SOP ditetapkan bagi mengurangkan kemungkinan jangkitan.

Pada Selasa, Najib menerusi hantaran di Facebooknya memaparkan video Mahathir memasuki premis satu majlis tanpa mengimbas suhu badan dan aplikasi MySejahtera.

Najib turut menyatakan bahawa beliau telah dikenakan dua kompaun sebelum ini kerana terlupa mengimbas suhu badan dan aplikasi MySejahtera ketika memasuki sebuah premis.

Sementara itu, polis memaklumkan bahawa siasatan ke atas Mahathir akan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari berkata tindakan itu diambil susulan video yang dimuat naik di laman Facebook Najib yang menunjukkan Mahathir tidak mengimbas suhu badan dan aplikasi MySejahtera ketika menghadiri satu majlis di Langkawi.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Surau Raudhatul Jannah, Kuala Teriang pada pagi 8 Mei lalu,” katanya.

Related Articles

Video
YouTube