25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Mahkamah Tolak Permohonan Kerajaan Lucut Hak Atas Wang AS$27.5 Juta Berkaitan Najib

Must read

Sebuah mahkamah Malaysia pada Khamis mendapati kerajaan telah gagal membuktikan bahawa wang tunai berjumlah RM114 juta (AS$27.5 juta) yang dirampas daripada sebuah kediaman yang berkait dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak tiga tahun lalu telah dicuri daripada dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin yang menolak satu permohonan oleh Pendakwa Raya untuk melucutkan hak keatas wang itu yang kini berada dalam simpanan Bank Negara Malaysia.

Susulan daripada penghakiman tersebut, peguam Najib berkata bahawa mereka akan menulis surat untuk meminta supaya wang tersebut dipulangkan serta merta kepada Najib, yang mengaku bahawa ia dimiliki Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang mana sebelum ini diketuainya.

“Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan wang yang dirampas dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd diperoleh daripada kesalahan pecah amanah. Pegawai penyiasat pengubahan wang haram, ACP D. Rajagopal gagal menunjukkan wang itu adalah harta curi, wang dipindahkan hasil daripada pecah amanah jenayah atau penipuan serta gagal menjelaskan bagaimana pecah amanah jenayah atau penipuan berlaku.

“Rajagopal gagal mendedahkan dan mengenal pasti siapa diamanahkan dengan wang 1Malaysia Development Berhad, siapa yang mempunyai penguasaan dominan ke atas wang 1MDB dan dengan curang menyalahgunakan wang dana itu, serta gagal menjelaskan bagaimana Najib adalah ejen 1MDB,” kata Muhammad Jamil sewaktu membacakan penghakiman beliau.

Hakim berkenaan berkata bahawa pihak pendakwaan juga gagal membuktikan kaitan di antara wang di dalam akaun Ambank milik Najib dengan wang yang disita.

Pada 25 Mei 2018, pasukan polis Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah merampas sejumlah besar wang ringgit bersama 26 matawang lain dalam serbuan ke atas sebuah unit di kondominium mewah Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Serbuan terhadap kondominum tidak berpenghuni yang dibuat pada 18 Mei 2018 menemukan wang tunai berkenaan di dalam 35 buah beg, berjumlah RM114 juta, dengan kebanyakan daripada wang tunai tersebut adalah dalam denominasi ringgit dan dolar Singapura.

Polis juga merampas sejumlah barang kemas, jam tangan, dan beg tangan berjenama serta barangan berharga lain yang ditemui di unit kondominum tersebut.

“Jumlah total wang seperti yang dikira semalam, 24 Mei (2018) adalah sebanyak RM114 juta,” kata pegawai polis Amar Singh Ishar Singh yang merupakan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pada masa itu.

Menurut laporan media tempatan Harian Metro, susulan daripada rampasan wang tersebut, pihak pendakwaan pada tahun 2019 telah memfailkan permohonan di mahkamah untuk melucutkan hak kesemua wang dan barangan yang dirampas dengan permohonan tersebut dibuat terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd sebagai pemilik premis.

Tolak permohonan tangguh

Sementara itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata keputusan itu membersihkan nama Najib dan juga UMNO sebagai pemilik wang yang dirampas.

Kata beliau, hakim telah menerima keterangan yang diberi oleh Najib dalam afidavitnya bahawa wang yang dirampas itu adalah baki daripada dana pilihanraya UMNO, yang berada dalam simpanan beliau selaku Perdana Menteri dan presiden parti UMNO ketika itu.

“Dalam afidavit beliau, Najib telah berkata bahawa wang tersebut adalah baki daripada bajet pilihan raya yang disimpan beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, yang mana adalah normal untuk menguruskan pilihanraya yang sebegitu besar.

“Beliau sudah memberikan keterangan bahawa wang tersebut adalah lebihan dana, dan pihak pendakwaan tidak dapat menyangkal bukti ini dengan efektif. Hakim menerima keterangan Najib.

“Yang paling penting sekali, tiada bukti dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk mengaitkan wang ini dengan aktiviti jenayah, terutamanya 1MDB dan SRC International. Bukan sahaja nama Najib telah dibersihkan, tetapi juga nama UMNO. Keterangan Najib dan UMNO adalah selari, bahawa sebahagian wang itu disimpan Najib sebagai pemegang amanah,” kata Shafee kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah pada Khamis.

Menurut peguam itu, pihak pendakwaan juga telah gagal untuk mendapatkan penangguhan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan pelucutan hak oleh mereka.

Kata Shafee, mereka telah membantah permohonan untuk menggantung keputusan mahkamah kerana tiada arahan untuk digantung memandangkan keputusan mahkamah pada Khamis hanyalah untuk menolak permohonan.

“Yang Arif Hakim telah bersetuju bahawa tidak ada penggantungan terhadap keputusan. Jadi, hari ini juga kami akan menulis surat kepada mereka supaya memulangkan wang berkenaan kepada Najib.

“Kemudiannya ia terpulanglah kepada Najib dan UMNO bagaimana untuk menguruskan wang berkenaan,” kata Shafee sambil menambah bahawa ia adalah sesuatu yang salah bagi pihak pendakwaan untuk terus menyimpan wang tersebut setelah mahkamah menolak permohonan mereka.

Sementara itu, Najib ketika ditemui wartawan menyatakan kegembiraan beliau terhadap keputusan mahkamah, dan menyifatkannya sebagai satu kejayaan yang besar.

Ahli politik itu turut mendakwa bahawa keputusan mahkamah membuktikan bahawa segala tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau mengenai dana 1MDB selama ini hanyalah satu fitnah dan tidak mempunyai asas.

“Asas keputusan Yang Arif bahawa dakwaan yang dibuat oleh Pendakwa Raya bahawa wang ini berpunca dari wang 1MDB tidak dapat dibuktikan sama sekali dan tidak ada asas sama sekali. Ini bererti bahawa tidak ada jenayah dilakukan, maka oleh itu tindakan perlucutan hak atau harta (tidak) patut diizinkan,” kata Najib.

Najib kini sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan sabitan jenayah, penjara dan denda jutaan ringgit berhubung kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas beliau serta denda sebanyak RM210 juta ($49.3 juta) selepas mendapati beliau bersalah bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima secara haram RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

Selain itu, Najib masih dibicarakan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bagi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang hilang daripada 1MDB.

Beliau juga berhadapan dengan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Related Articles

Video
YouTube